Saturday, August 9, 2014

Firefly diminta kembangkan operasi dari Kota Bharu sebagai hab Pantai Timur

SYARIKAT penerbangan Firefly (Firefly) diminta mengembangkan operasinya dari Lapangan Terbang Kota Bharu sekali gus menjadi hab Firefly bagi Wilayah Pantai Timur, iaitu hab Firefly ketiga selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (hab Wilayah Utara) dan Lapangan Terbang Subang Kuala Lumpur (hab Wilayah Tengah). 

Setakat ini, anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines (MAS) ini hanya menawarkan tiga laluan penerbangan terus yang melibatkan sektor Kota Bharu, iaitu Kota Bharu - Subang (Kuala Lumpur), Kota Bharu - Pulau Pinang, dan Kota Bharu - Johor Bahru

Antara laluan baharu yang berpotensi untuk ditawarkan dari Kota Bharu ialah Kota Bharu - Kuantan dan Kota Bharu - Langkawi bagi laluan domestik, manakala Kota Bharu - Don Mueang (Bangkok) dan Kota Bharu - Bandar Raya Ho Chi Minh bagi laluan antarabangsa. 

Laluan Kota Bharu - Kuantan dan Kota Bharu - Langkawi masing-masing boleh ditawarkan dengan kekerapan tiga kali seminggu, iaitu setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu. 

Pihak pengurusan Firefly diminta menimbangkan semula dengan melancarkan semula laluan penerbangan Kota Bharu - Bangkok (Don Mueang) yang sudah beberapa kali tertangguh sebelum ini ekoran keadaan di Bangkok yang kurang aman dan stabil. Perkembangan dan situasi di Bangkok yang kembali aman seperti sedia kala perlu dipertimbangkan semula oleh Firefly. Perkhidmatan bagi laluan ini boleh dimulakan mulai Oktober 2014 nanti. 

Laluan antarabangsa Kota Bharu - Bandar Raya Ho Chi Minh juga mendapat pertanyaan dan permintaan yang tinggi daripada rakyat Kelantan lebih-lebih lagi Bandar Raya Ho Chi Minh sudah cukup terkenal sebagai bandar raya bersejarah, tarikan budaya dan beli-belah. 

Dalam pada itu, sebuah laman Facebook khas telah ditubuhkan untuk menyatakan sokongan rakyat Malaysia ke atas perkhidmatan penerbangan Malaysia Airlines, iaitu Malaysia Airlines Pilihanku yang boleh dilayari melalui laman sesawang www.facebook.com/malaysiaairlinespilihanku. Rakyat Malaysia mahukan Malaysia Airlines kembali bangkit dan terus terbang tinggi membawa nama Malaysia ke seluruh dunia. 

Tegasan: Semua artikel ini adalah hak milik laman blog ini dan tidak sepatutnya disalin semula dan ditampal (copy & paste) ke laman lain tanpa kebenaran bertulis daripada pihak pengurusan laman blog ini terlebih dahulu

FIREFLY | HAB FIREFLY PANTAI TIMUR | HAB FIREFLY WILAYAH PANTAI BARAT UTARA (WILAYAH UTARA) | HAB FIREFLY WILAYAH PANTAI BARAT TENGAH (WILAYAH TENGAH) | MALAYSIA AIRLINES PILIHANKU

No comments:

Post a Comment