Friday, March 13, 2015

Firefly dan Malindo Air diminta pertimbang laluan Kota Bharu - Alor Setar dan Kota Bharu - Pulau Langkawi

SYARIKAT penerbangan tempatan terutamanya Firefly dan Malindo Airways (Malindo Air) diminta memperkenalkan laluan Kota Bharu - Alor Setar dan Kota Bharu - Pulau Langkawi pada tahun ini. 

Hal ini kerana terdapat permintaan yang tinggi bagi kedua-dua laluan ini bukan sahaja oleh rakyat Kelantan tetapi juga rakyat Kedah dan Perlis. 

Laluan Kota Bharu - Alor Setar

Laluan Kota Bharu - Alor Setar bukan sahaja dapat menampung permintaan daripada penduduk Kelantan dan Terengganu Utara tetapi juga penduduk Kedah dan Perlis sekali gus dapat memenuhi permintaan pasaran tiga bandar utama di Kedah dan Perlis, iaitu Alor Setar, Sungai Petani, dan Kangar.  

Ia juga boleh digunakan oleh mereka yang ingin ke Pulau Langkawi melalui Jeti Kuala Kedah yang terletak kira-kira 20 kilometer atau 30 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar. 

Buat permulaan, mana-mana syarikat penerbangan tempatan yang berminat bolehlah menawarkan penerbangan tiga kali seminggu bagi laluan ini, iaitu setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu dengan mengadakan penerbangan pada sebelah petang yang diyakini mampu menarik lebih ramai penumpang berbanding penerbangan pada awal pagi, yakni sebelum jam 10:00 pagi.


Laluan Kota Bharu - Pulau Langkawi

Jika syarikat penerbangan menawarkan perkhidmatan penerbangan terus dari Kota Bharu ke Pulau Langkawi pula, para penumpang dari Kota Bharu tidak perlu lagi menaiki feri dari Jeti Kuala Kedah atau Jeti Kuala Perlis atau mengambil penerbangan secara transit untuk ke Pulau Langkawi. 

Laluan Kota Bharu - Pulau Langkawi boleh menarik penumpang terutamanya pelancong asing yang ingin ke Pulau Perhentian dari Pulau Langkawi atau sebaliknya melalui Kota Bharu tanpa perlu lagi mengambil penerbangan secara transit melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk ke Kota Bharu dan sebaliknya.  

Permintaan daripada pelancong domestik juga tinggi bagi laluan ini kerana ketiadaan penerbangan terus dari mana-mana lapangan terbang ibu negeri di Pantai Timur ke Pulau Langkawi yang menyukarkan mereka untuk bercuti di Pulau Langkawi.

Buat permulaan, mana-mana syarikat penerbangan yang berminat bolehlah menawarkan penerbangan empat kali seminggu bagi laluan ini, iaitu setiap hari Ahad, Isnin, Rabu, dan Jumaat.

Untuk melihat sejauh mana sokongan orang ramai bagi kedua-dua laluan ini, silalah layari laman sesawang Facebook: www.faceboook/laluankbas dan www.facebook.com/laluankblangkawi

No comments:

Post a Comment