Saturday, March 7, 2015

Penduduk Ledang, Muar, Segamat, dan Tampin boleh ambil penerbangan ke Kota Bharu dari Melaka

Lapangan Terbang Melaka (LTM) yang terletak di Batu Berendam, Melaka yang kini menawarkan perkhidmatan penerbangan berjadual ke Kota Bharu, Pulau Pinang, dan Pekanbaru (Indonesia). Foto ihsan: Malaysia Airports Holdings Berhad
PERKHIDMATAN penerbangan terus dari Kota Bharu ke Melaka dan sebaliknya  yang diperkenalkan syarikat penerbangan Malindo Airways (Malindo Air) sejak 22 November tahun lepas bukan setakat memberi manfaat besar kepada penduduk negeri Melaka tetapi juga sebenarnya boleh dimanfaatkan penduduk dari daerah-daerah yang bersempadan dengan negeri Melaka ini

Penduduk dari daerah-daerah Ledang, Muar, dan Segamat di sebelah barat laut negeri Johor dan juga penduduk dari daerah Tampin, Negeri Sembilan Darul Khusus bolehlah mengambil penerbangan dari Lapangan Terbang Melaka (LTM) untuk ke Kota Bharu, Kelantan dengan mengambil kira kedudukan geografi serta kemudahan infrastruktur jalan raya dan lebuh raya yang cekap menghubungkan daearah-daerah ini dengan negeri Melaka. 

Penerbangan OD1723 dari Kota Bharu ke Melaka dijadualkan berlepas pada jam 13:00 dan dijadualkan tiba di LTM pada jam 14:35, manakala penerbangan OD1724 dari Melaka ke Kota Bharu dijadualkan berlepas pada jam 15:00 dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) pada jam 16:35. 

Penerbangan ditawarkan pada setiap hari dengan kekerapan sekali sehari atau tujuh kali seminggu sejak 1 Februari lepas. Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket secara dalam talian, sila layari laman sesawang www.malindoair.com

No comments:

Post a Comment