Sunday, March 15, 2015

Rayani Air ashik promosi "coming soon" pah ceroh

"Coming soon" pah ceroh! 
SYARIKAT penerbangan Rayani Air masih gagal mengotakan janjinya untuk beroperasi pada Januari lepas setelah beberapa kali memberikan penangguhan untuk beroperasi. Terbaharu, salah seorang kakitangan Rayani Air meninggalkan komen di laman Facebook Rayani Air bahawa mereka akan mula beroperasi mulai Jun nanti. 

Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, Rayani Air masih teragak-agak untuk mengumumkan tarikh sebenar operasi komersial kerana mereka masih gagal mendapatkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA). 

Antara syarat-syarat untuk memperoleh ASL, sila klik pautan ini:- http://www.mot.gov.my/Services/Documents/Aviation/Lesen%20Perkhidmatan%20Udara%20%28ASL%29.pdf

Dalam pada itu, Rayani Air juga dipercayai masih belum memiliki atau memuktamadkan pembelian pesawat terpakai milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang masih disimpan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Shah Alam, Selangor.  

Pesawat yang dimaksudkan adalah pesawat jenis B737-400 yang kini tidak lagi digunakan oleh MAS untuk operasi komersial setelah digantikan dengan pesawat B737-800. 

Dengan ketiadaan lesen dan pesawat untuk beroperasi, Rayani Air tidak sepatutnya memainkan perasaan atau memberikan harapan palsu kepada bakal-bakal penumpangnya dengan iklan promosi tiket dan juga penggunaan perkataan daripada bahasa Inggeris "coming soon" dan "very soon". 

Berdasarkan pemerhatian penulis, pihak Rayani Air menggunakan perkataan "coming soon" sejak hampir setahun yang lepas lagi. Mereka mempromosikan iklan dengan memasukan perkataan "coming soon" pah ceroh (tiada kesudahannya). Adakah mereka sebenarnya betul-betul faham maksud "coming soon" (akan datang) dan "very soon" (tidak lama lagi dah) dalam konteks atau maksud istilah perniagaan? 

Kempen 'jualan' atau promosi harga tiket Rayani Air di laman Facebook rasminya juga didapati mengalahkan kempen atau promosi jualan tiket syarikat-syarikat penerbangan lain terutamanya AirAsia, Firefly, dan Malindo Air. Perkara ini dipersetujui oleh ahli-ahli laman Facebook rasminya yang memberikan komentar yang sama. 

Lima laluan dari Lapangan Terbang Melaka (LTM) yang sudah dicanang oleh Rayani Air hampir setahun yang lepas ialah Kota Kinabalu, Kuching, Kota Bharu, Pulau Pinang, dan Pekanbaru (kini diganti dengan Pulau Langkawi). Destinasi-destinasi lain dari Melaka yang akan diadakan ialah Kuantan, Kuala Terengganu, Alor Setar

Pada 10 Mac 2015 pula, Rayani Air sekali mempromosikan "coming soon" di laman Facebook rasminya dengan cadangan untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) sebagai hab keduanya selepas LTM. 

Antara lain, Rayani Air akan beroperasi dari LIA untuk penerbangan ke Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kota Bharu, Kuching, Pekanbaru, Medan, Phuket, Bandung, Melaka, Kuantan, dan Kuala Terengganu. 
Promosi "coming soon" yang diterbitkan di laman Facebook Rayani Air pada 10 Mac 2015. 
Sebelum itu, sepanjang Januari - 9 Mac tahun ini, Rayani Air juga mempromosikan "coming soon" sekurang-kurangnya lapan laluan dari atau ke Kota Bharu, iaitu Melaka, Pulau Langkawi, Alor Setar, Johor Bahru, Ipoh, Kuching, Bandung, dan Singapura

Secara ringkasnya, antara laluan "coming soon" Rayani Air ialah (1) Melaka - Kota Kinabalu; (2) Melaka - Kuching; (3) Melaka - Kota Bharu; (4) Melaka - Pulau Pinang; (5) Melaka - Langkawi; (6) Melaka - Kuantan; (7) Melaka - Kuala Terengganu; (8) Melaka - Alor Setar; (9) Pulau Langkawi - Pulau Pinang; (10) Pulau Langkawi - Kota Kinabalu; (11) Pulau Langkawi - Johor Bahru; (12) Pulau Langkawi - Kota Bharu; (13) Pulau Langkawi - Kuching; (14) Pulau Langkawi - Pekanbaru; (15) Pulau Langkawi - Medan; (16) Pulau Langkawi - Phuket; (17) Pulau Langkawi - Bandung; (18) Pulau Langkawi - Kuantan; (19) Pulau Langkawi - Kuala Terengganu; (20) Kota Bharu - Alor Setar; (21) Kota Bharu - Johor Bahru; (22) Kota Bharu - Ipoh; (23) Kota Bharu - Kuching; (24) Kota bharu - Bandung; dan (25) Kota Bharu - Singapura

Dengan promosi "coming soon" yang boleh dikatakan cukup agresif ini, Rayani Air seolah-olah sudah mempunyai sekurang-kurangnya 10 buah pesawat B737-400 untuk beroperasi 'tidak lama lagi' (very soon). 

Dalam pada itu, pemilik-pemilik kenderaan yang mengambil bahagian dalam kempen menampal pelekat kereta (sticker) yang mempromosikan syarikat penerbangan ini sudah pastinya tidak sabar-sabar lagi untuk mendapatkan baucer tiket penerbangan percuma. 

Kempen menampal pelekat kereta ini telah diadakan dengan agresif sekali pada hujung tahun lepas melibatkan beberapa buah negeri terutamanya Melaka, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, dan sehinggalah ke Selatan Thailand. 

Kempen ini akan mencapai tahap matang, iaitu selepas enam bulan menampal pelekat yang dijangka akan matang pada Mei dan Jun ini. Adakah Rayani Air sudah bersedia untuk menunaikan janji untuk memberikan tiket penerbangan pergi-balik secara percuma kepada semua peserta yang mengambil bahagian nanti? 

Ada kemungkinan besar syarikat-syarikat penerbangan tempatan yang lain terutamanya Malindo Air dan Firefly yang akan terlebih dahulu memasuki pasaran dan membuka laluan baharu nanti. Sebelum ini pun, Malindo Air telah membuka tiga laluan baharu dari Melaka, iaitu Melaka - Pulau Pinang, Melaka - Kota Bharu, dan Melaka - Pekanbaru yang tidak perlu promosi  "coming soon" bagai nak rak pun. 

Ketiga-tiga laluan ini memang dicanangkan oleh Rayani Air terlebih dahulu tetapi Malindo Air yang akhirnya menawarkan perkhidmatan terlebih dahulu. Akhir kata, tunggu sahaja "coming soon" itu!

1 comment: