Sunday, October 26, 2014

Pesawat B737-900ER Malindo Air pesawat komersial terbesar mendarat di Kota Bharu

Pesawat Malindo Air dengan nombor pendaftaran 9M-LNH yang dirakamkan pada pagi 26 Oktober 2014 ketika ingin melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP). Foto: Muhd Aizat bin Mohd Zain. 
KOTA BHARU: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) atau dikenali juga Lapangan Terbang Kota Bharu hari ini (26 Oktober 2014) menerima pendaratan sulung pesawat B737-900ER, iaitu pesawat komersial terbesar yang pernah mendarat di lapangan terbang ini setakat ini. 

Sebelum ini, pesawat komersial terbesar yang keluar masuk lapangan terbang ini adalah B737-800 milik Penerbangan Malaysia (MAS). Secara perbandingan mudah, pesawat B737-900ER ini lebih panjang sedikit berbanding B737-800.

Penerbangan OD2302 dari Terminal KLIA 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah selamat mendarat di LTSIP kira-kira jam 07:50, manakala penerbangan OD2301 dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur berlepas kira-kira sejam kemudian. 

Kuala Lumpur (KUL) merupakan destinasi penerbangan ketiga Malindo Air dari atau ke Kota Bharu (KBR) selepas Subang Kuala Lumpur (SZB) dan Pulau Pinang (PEN). 

Pesawat Malindo Air dengan nombor pendaftaran 9M-LNH yang dirakamkan pada pagi 26 Oktober 2014  di petak apron parkir pesawat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP). Foto: Muhd Aizat bin Mohd Zain.

Jadual Penerbangan 

Penerbangan OD2302 dari Terminal KLIA 2 (Terminal 2), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijadualkan berlepas pada jam 07:00 dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) pada jam 07:55, manakala penerbangan OD2301 dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dijadualkan berlepas pada jam 08:45 dan dijadualkan tiba di KLIA pada jam 09:45. Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket secara dalam talian, sila layari laman sesawang: www.malindoair.com.

No comments:

Post a Comment