Monday, September 17, 2018

Tanpa sebarang promosi, Malindo Air lancarkan penerbangan terus ke Surat Thani dari Kota Bharu hari ini

KOTA BHARU: Syarikat penerbangan Malindo Air hari ini melancarkan perkhidmatan penerbangan sulung dari Kota Bharu (KBR) ke Surat Thani (URT) dengan kekerapan dua kali seminggu, iaitu setiap hari Isnin dan Selasa. 

Laluan penerbangan sulung Kota Bharu - Surat Thani pada 17 September 2018. Sumber: Flightradar24
Penerbangan sulung OD534 dari Kota Bharu ke Surat Thani telah berlepas dari Kota Bharu pada jam 11:03 dan telah tiba di Surat Thani pada jam 11:25 (waktu Thailand). Penerbangan sulung ini  mengambil masa kira-kira 1 jam 23 minit sahaja. 

Jadual Penerbangan

Penerbangan OD534 dari Kota Bharu ke Surat Thani dijadualkan berlepas dari Kota Bharu pada jam 10:40 dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Surat Thani (URT) pada jam 11:20 (waktu Thailand), manakala penerbangan OD535 dari Surat Thani ke Kota Bharu dijadualkan berlepas pada jam 11:45 (waktu Thailand) dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) pada jam 14:25. 


Cadangan Jadual Penerbangan

Syarikat penerbangan Malindo Air diharap dapat menjadualkan semula laluan ini daripada Isnin dan Selasa kepada Isnin dan Jumaat. Hal ini kerana jika penerbangan ditawarkan pada hari Isnin dan Selasa, pelancong dari Kota Bharu ke Surat Thani yang berlepas pada hari Isnin hanya berkesempatan untuk bercuti di Surat Thani untuk satu malam sahaja dengan mengambil penerbangan pulang pada keesokan harinya dengan andaian bahawa mereka tidak mahu berada di sana selama seminggu. 

Jika perkhidmatan bagi laluan ini dijadualkan semula kepada setiap hari Isnin dan Jumaat, pelancong dari Kota Bharu yang berlepas ke Surat Thani pada hari Jumaat berkesempatan berada di Surat Thani atau Koh Samui selama tiga malam sebelum mengambil penerbangan pulang pada hari Isnin dan sebaliknya. 


Tiada Sebarang Promosi 

Untuk laluan baharu ini paling dikesalkan adalah kerana Malindo Air didapati tidak membuat sebarang promosi dan publisiti di laman sesawang dan media sosial rasminya berbanding laluan-laluan baharu lain seperti Kuala Lumpur - Labuan (mulai 2 Ogos 2018), Kota Kinabalu - Singapura (10 Ogos 2018), Subang - Silangit (17 Ogos 2018), Kuala Lumpur - Kolkata (22 Oktober 2018) dan Kota Kinabalu - Kuching (28 Oktober 2018). 

Pengurusan Malindo Air sama ada di ibu pejabat di Petaling Jaya, Selangor mahupun pengurus stesen di Kota Bharu, Kelantan sepatutnya menitikberatkan aspek promosi dan pemasaran dalam memastikan semua laluan baharu yang akan dan baru diperkenalkan dapat terus kekal beroperasi. 

Tanpa sebarang promosi dan pemasaran, didapati ramai rakyat Kelantan sendiri yang tidak mengetahui akan kewujudkan laluan antarabangsa ini.

Pengurusan Malindo Air diharap dapat melakukan sesuatu untuk mempromosikan laluan ini termasuk menjadualkan semula penerbangan daripada Isnin dan Selasa kepada Isnin dan Jumaat untuk memudahkan perancangan percutian warga Kelantan dan Pantai Timur ke Surat Thani dan Koh Samui dan sebaliknya. 

Nota kaki: Surat Thani merupakan salah satu pintu masuk utama pelancong untuk ke Pulau Koh Samui di Teluk Thailand. 

No comments:

Post a Comment