Monday, March 16, 2015

Projek pembesaran serta naik taraf Lapangan Terbang Kota Bharu akan diberi keutamaan dalam RMK-11

Projek pembesaran serta naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu akan diberikan keutamaan oleh Kerajaan Pusat dalam Rancangan Malaysia Ke-11.
KOTA BHARU: Kerajaan Pusat sedang meneliti keperluan pembangunan di Kelantan untuk dimasukkan sebagai projek keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara infrastruktur yang menjadi keutamaan ialah pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai dan projek pembesaran serta menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Kelantan sememangnya memerlukan kemudahan infrastruktur yang lebih baik dan ia perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan, katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dun Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mengenai titah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V supaya kerajaan negeri dan Kerajaan persekutuan meningkatkan kerjasama dalam membantu mangsa banjir terutama bagi membina rumah kekal, Mustapa berkata, Jawatankuasa Bersama Banjir Kelantan akan cuba menyegerakan pembinaan rumah kekal itu.

"Kami minta jawatankuasa memastikan rumah bagi mereka yang ada tanah dapat disegerakan pembinaannya manakala mangsa yang belum mempunyai tanah terutama yang menetap di khemah, jawatankuasa perlu fikirkan kaedah lain untuk menempatkan mereka sama ada di rumah transit atau rumah sewa," katanya.

Beliau berkata, kira-kira 1,100 keluarga mangsa banjir Disember tahun lepas, tidak mempunyai tanah sendiri untuk pembinaan rumah kekal.

Sumber: BERNAMA | 16 Mac 2015

Sunday, March 15, 2015

Rayani Air ashik promosi "coming soon" pah ceroh

"Coming soon" pah ceroh! 
SYARIKAT penerbangan Rayani Air masih gagal mengotakan janjinya untuk beroperasi pada Januari lepas setelah beberapa kali memberikan penangguhan untuk beroperasi. Terbaharu, salah seorang kakitangan Rayani Air meninggalkan komen di laman Facebook Rayani Air bahawa mereka akan mula beroperasi mulai Jun nanti. 

Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, Rayani Air masih teragak-agak untuk mengumumkan tarikh sebenar operasi komersial kerana mereka masih gagal mendapatkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA). 

Antara syarat-syarat untuk memperoleh ASL, sila klik pautan ini:- http://www.mot.gov.my/Services/Documents/Aviation/Lesen%20Perkhidmatan%20Udara%20%28ASL%29.pdf

Dalam pada itu, Rayani Air juga dipercayai masih belum memiliki atau memuktamadkan pembelian pesawat terpakai milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang masih disimpan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Shah Alam, Selangor.  

Pesawat yang dimaksudkan adalah pesawat jenis B737-400 yang kini tidak lagi digunakan oleh MAS untuk operasi komersial setelah digantikan dengan pesawat B737-800. 

Dengan ketiadaan lesen dan pesawat untuk beroperasi, Rayani Air tidak sepatutnya memainkan perasaan atau memberikan harapan palsu kepada bakal-bakal penumpangnya dengan iklan promosi tiket dan juga penggunaan perkataan daripada bahasa Inggeris "coming soon" dan "very soon". 

Berdasarkan pemerhatian penulis, pihak Rayani Air menggunakan perkataan "coming soon" sejak hampir setahun yang lepas lagi. Mereka mempromosikan iklan dengan memasukan perkataan "coming soon" pah ceroh (tiada kesudahannya). Adakah mereka sebenarnya betul-betul faham maksud "coming soon" (akan datang) dan "very soon" (tidak lama lagi dah) dalam konteks atau maksud istilah perniagaan? 

Kempen 'jualan' atau promosi harga tiket Rayani Air di laman Facebook rasminya juga didapati mengalahkan kempen atau promosi jualan tiket syarikat-syarikat penerbangan lain terutamanya AirAsia, Firefly, dan Malindo Air. Perkara ini dipersetujui oleh ahli-ahli laman Facebook rasminya yang memberikan komentar yang sama. 

Lima laluan dari Lapangan Terbang Melaka (LTM) yang sudah dicanang oleh Rayani Air hampir setahun yang lepas ialah Kota Kinabalu, Kuching, Kota Bharu, Pulau Pinang, dan Pekanbaru (kini diganti dengan Pulau Langkawi). Destinasi-destinasi lain dari Melaka yang akan diadakan ialah Kuantan, Kuala Terengganu, Alor Setar

Pada 10 Mac 2015 pula, Rayani Air sekali mempromosikan "coming soon" di laman Facebook rasminya dengan cadangan untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) sebagai hab keduanya selepas LTM. 

Antara lain, Rayani Air akan beroperasi dari LIA untuk penerbangan ke Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kota Bharu, Kuching, Pekanbaru, Medan, Phuket, Bandung, Melaka, Kuantan, dan Kuala Terengganu. 
Promosi "coming soon" yang diterbitkan di laman Facebook Rayani Air pada 10 Mac 2015. 
Sebelum itu, sepanjang Januari - 9 Mac tahun ini, Rayani Air juga mempromosikan "coming soon" sekurang-kurangnya lapan laluan dari atau ke Kota Bharu, iaitu Melaka, Pulau Langkawi, Alor Setar, Johor Bahru, Ipoh, Kuching, Bandung, dan Singapura

Secara ringkasnya, antara laluan "coming soon" Rayani Air ialah (1) Melaka - Kota Kinabalu; (2) Melaka - Kuching; (3) Melaka - Kota Bharu; (4) Melaka - Pulau Pinang; (5) Melaka - Langkawi; (6) Melaka - Kuantan; (7) Melaka - Kuala Terengganu; (8) Melaka - Alor Setar; (9) Pulau Langkawi - Pulau Pinang; (10) Pulau Langkawi - Kota Kinabalu; (11) Pulau Langkawi - Johor Bahru; (12) Pulau Langkawi - Kota Bharu; (13) Pulau Langkawi - Kuching; (14) Pulau Langkawi - Pekanbaru; (15) Pulau Langkawi - Medan; (16) Pulau Langkawi - Phuket; (17) Pulau Langkawi - Bandung; (18) Pulau Langkawi - Kuantan; (19) Pulau Langkawi - Kuala Terengganu; (20) Kota Bharu - Alor Setar; (21) Kota Bharu - Johor Bahru; (22) Kota Bharu - Ipoh; (23) Kota Bharu - Kuching; (24) Kota bharu - Bandung; dan (25) Kota Bharu - Singapura

Dengan promosi "coming soon" yang boleh dikatakan cukup agresif ini, Rayani Air seolah-olah sudah mempunyai sekurang-kurangnya 10 buah pesawat B737-400 untuk beroperasi 'tidak lama lagi' (very soon). 

Dalam pada itu, pemilik-pemilik kenderaan yang mengambil bahagian dalam kempen menampal pelekat kereta (sticker) yang mempromosikan syarikat penerbangan ini sudah pastinya tidak sabar-sabar lagi untuk mendapatkan baucer tiket penerbangan percuma. 

Kempen menampal pelekat kereta ini telah diadakan dengan agresif sekali pada hujung tahun lepas melibatkan beberapa buah negeri terutamanya Melaka, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, dan sehinggalah ke Selatan Thailand. 

Kempen ini akan mencapai tahap matang, iaitu selepas enam bulan menampal pelekat yang dijangka akan matang pada Mei dan Jun ini. Adakah Rayani Air sudah bersedia untuk menunaikan janji untuk memberikan tiket penerbangan pergi-balik secara percuma kepada semua peserta yang mengambil bahagian nanti? 

Ada kemungkinan besar syarikat-syarikat penerbangan tempatan yang lain terutamanya Malindo Air dan Firefly yang akan terlebih dahulu memasuki pasaran dan membuka laluan baharu nanti. Sebelum ini pun, Malindo Air telah membuka tiga laluan baharu dari Melaka, iaitu Melaka - Pulau Pinang, Melaka - Kota Bharu, dan Melaka - Pekanbaru yang tidak perlu promosi  "coming soon" bagai nak rak pun. 

Ketiga-tiga laluan ini memang dicanangkan oleh Rayani Air terlebih dahulu tetapi Malindo Air yang akhirnya menawarkan perkhidmatan terlebih dahulu. Akhir kata, tunggu sahaja "coming soon" itu!

Friday, March 13, 2015

Firefly dan Malindo Air diminta pertimbang laluan Kota Bharu - Alor Setar dan Kota Bharu - Pulau Langkawi

SYARIKAT penerbangan tempatan terutamanya Firefly dan Malindo Airways (Malindo Air) diminta memperkenalkan laluan Kota Bharu - Alor Setar dan Kota Bharu - Pulau Langkawi pada tahun ini. 

Hal ini kerana terdapat permintaan yang tinggi bagi kedua-dua laluan ini bukan sahaja oleh rakyat Kelantan tetapi juga rakyat Kedah dan Perlis. 

Laluan Kota Bharu - Alor Setar

Laluan Kota Bharu - Alor Setar bukan sahaja dapat menampung permintaan daripada penduduk Kelantan dan Terengganu Utara tetapi juga penduduk Kedah dan Perlis sekali gus dapat memenuhi permintaan pasaran tiga bandar utama di Kedah dan Perlis, iaitu Alor Setar, Sungai Petani, dan Kangar.  

Ia juga boleh digunakan oleh mereka yang ingin ke Pulau Langkawi melalui Jeti Kuala Kedah yang terletak kira-kira 20 kilometer atau 30 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar. 

Buat permulaan, mana-mana syarikat penerbangan tempatan yang berminat bolehlah menawarkan penerbangan tiga kali seminggu bagi laluan ini, iaitu setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu dengan mengadakan penerbangan pada sebelah petang yang diyakini mampu menarik lebih ramai penumpang berbanding penerbangan pada awal pagi, yakni sebelum jam 10:00 pagi.


Laluan Kota Bharu - Pulau Langkawi

Jika syarikat penerbangan menawarkan perkhidmatan penerbangan terus dari Kota Bharu ke Pulau Langkawi pula, para penumpang dari Kota Bharu tidak perlu lagi menaiki feri dari Jeti Kuala Kedah atau Jeti Kuala Perlis atau mengambil penerbangan secara transit untuk ke Pulau Langkawi. 

Laluan Kota Bharu - Pulau Langkawi boleh menarik penumpang terutamanya pelancong asing yang ingin ke Pulau Perhentian dari Pulau Langkawi atau sebaliknya melalui Kota Bharu tanpa perlu lagi mengambil penerbangan secara transit melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk ke Kota Bharu dan sebaliknya.  

Permintaan daripada pelancong domestik juga tinggi bagi laluan ini kerana ketiadaan penerbangan terus dari mana-mana lapangan terbang ibu negeri di Pantai Timur ke Pulau Langkawi yang menyukarkan mereka untuk bercuti di Pulau Langkawi.

Buat permulaan, mana-mana syarikat penerbangan yang berminat bolehlah menawarkan penerbangan empat kali seminggu bagi laluan ini, iaitu setiap hari Ahad, Isnin, Rabu, dan Jumaat.

Untuk melihat sejauh mana sokongan orang ramai bagi kedua-dua laluan ini, silalah layari laman sesawang Facebook: www.faceboook/laluankbas dan www.facebook.com/laluankblangkawi

Lapangan Terbang Ipoh kini tawar penerbangan ke Kota Bharu

Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di bandar raya Ipoh, Perak Darul Ridzuan. 
LAPANGAN Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) atau dikenali juga sebagai Lapangan Terbang Ipoh kini menawarkan perkhidmatan penerbangan berjadual ke Kota Bharu, Kelantan sejak 3 Mac lepas. 

Syarikat penerbangan Malindo Airways (Malindo Air) telah melancarkan penerbangan sulung bagi laluan ini pada 14 Februari lepas. Namun begitu, perkhidmatan penerbangan secara berjadual hanya bermula pada 3 Mac dengan kekerapan tiga kali seminggu, iaitu setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu

Penerbangan OD1725 dari Ipoh ke Kota Bharu dijadualkan berlepas pada jam 12:05 dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) pada jam 13:15, manakala penerbangan OD1726 dari Kota Bharu ke Ipoh dijadualkan berlepas pada jam 13:40 dan dijadualkan tiba di LTSAS pada jam 14:50. 

Selain Kota Bharu, LTSAS juga menawarkan perkhidmatan penerbangan berjadual ke Singapura (oleh Firefly), Johor Bahru (Firefly dan Malindo Air), dan juga Medan (Malindo Air dan Sriwijaya Air). 

Tuesday, March 10, 2015

AirAsia expands connectivity to India, Indonesia with 3 new routes

KUALA LUMPUR: AirAsia today announced three new routes, namely, to Visakhapatnam in India, as well as, Pontianak and Medan in Indonesia.

In a statement here today, the low-cost airline said the thrice weekly Kuala Lumpur-Visakhapatnam direct flights would commence on May 7.

The Kuala Lumpur - Pontianak and Johor Bahru - Medan flights would commence on March 27 with twice weekly flights.

Head of Commercial, Spencer Lee said as Visakhapatnam was an up and rising destination for trade and tourism, AirAsia is confident that the move is timely.

"We will also be the first airline to fly direct to Pontianak from Kuala Lumpur. "As a truly ASEAN airline, we are proud to announce the recommencement of the Johor Bahru - Medan direct flight, which will provide enhanced connectivity for customers," he added.

AirAsia is also a offering promotional all-in-fare of RM99 one way for the Kuala Lumpur-Visakhapatnam flight and available for booking from today until March 22 for the travel period of May 7-March 26, 2016.

There will also be a promotional all-in-fare for the Kuala Lumpur - Pontianak flight from RM99 one-way and RM79 one-way for Johor Bahru - Medan.

Both routes are available for booking from today until March 22 and for the travel period between March 27 - March 26, 2016.

Source: The Star Online | 10 March 2015

Saturday, March 7, 2015

Malindo Air tambah satu lagi penerbangan bagi laluan Kuala Lumpur - Kota Bharu mulai 1 Julai 2015

SYARIKAT penerbangan Malindo Airways (Malindo Air) menambah satu lagi penerbangan bagi laluan Kuala Lumpur - Kota Bharu mulai 1 Julai 2015 dengan kekerapan empat kali seminggu. 

Penerbangan OD2306 dari Terminal KLIA 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kota Bharu dijadualkan berlepas pada jam 18:35 dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) pada jam 19:35. 

Penerbangan OD2305 dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur pula, dijadualkan berlepas pada jam 20:20 dan dijadualkan tiba di KLIA pada jam 21:20. 

Penambahan penerbangan ini menjadikan dua penerbangan sehari ditawarkan bagi laluan ini pada setiap hari Ahad, Isnin, Rabu, dan Jumaat, manakala sekali sehari pada setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu. 

Selain itu, Malindo Air juga menawarkan perkhidmatan penerbangan terus dari Kota Bharu ke Subang Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, dan Ipoh

Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket secara dalam talian, sila layari laman sesawang www.malindoair.com

Penduduk Ledang, Muar, Segamat, dan Tampin boleh ambil penerbangan ke Kota Bharu dari Melaka

Lapangan Terbang Melaka (LTM) yang terletak di Batu Berendam, Melaka yang kini menawarkan perkhidmatan penerbangan berjadual ke Kota Bharu, Pulau Pinang, dan Pekanbaru (Indonesia). Foto ihsan: Malaysia Airports Holdings Berhad
PERKHIDMATAN penerbangan terus dari Kota Bharu ke Melaka dan sebaliknya  yang diperkenalkan syarikat penerbangan Malindo Airways (Malindo Air) sejak 22 November tahun lepas bukan setakat memberi manfaat besar kepada penduduk negeri Melaka tetapi juga sebenarnya boleh dimanfaatkan penduduk dari daerah-daerah yang bersempadan dengan negeri Melaka ini

Penduduk dari daerah-daerah Ledang, Muar, dan Segamat di sebelah barat laut negeri Johor dan juga penduduk dari daerah Tampin, Negeri Sembilan Darul Khusus bolehlah mengambil penerbangan dari Lapangan Terbang Melaka (LTM) untuk ke Kota Bharu, Kelantan dengan mengambil kira kedudukan geografi serta kemudahan infrastruktur jalan raya dan lebuh raya yang cekap menghubungkan daearah-daerah ini dengan negeri Melaka. 

Penerbangan OD1723 dari Kota Bharu ke Melaka dijadualkan berlepas pada jam 13:00 dan dijadualkan tiba di LTM pada jam 14:35, manakala penerbangan OD1724 dari Melaka ke Kota Bharu dijadualkan berlepas pada jam 15:00 dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) pada jam 16:35. 

Penerbangan ditawarkan pada setiap hari dengan kekerapan sekali sehari atau tujuh kali seminggu sejak 1 Februari lepas. Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket secara dalam talian, sila layari laman sesawang www.malindoair.com