Tuesday, February 14, 2017

PM pecah tanah projek KLATCC

Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan model KLATCC pada program pecah tanah di Sepang, hari ini.
SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), di sini.

Kompleks itu kelak bukan sahaja akan menempatkan operasi kawalan trafik udara bagi ruang udara Kuala Lumpur (KLFIR) tetapi akan menjadi tunjang utama bagi keseluruhan trafik udara di negara ini termasuk sebagai pusat sistem mencari dan menyelamat (SAR) bagi Jabatan Perbangan Awam (DCA).

Projek yang menelan belanja lebih RM650 juta itu akan mengtransformasikan hampir keseluruhan infrastruktur kawalan trafik udara bagi ruang udara KLFIR melibatkan aspek kemudahan sistem kawalan trafik udara dan dijadualkan beroprerasi sepenuhnya pada penghujung 2019.

Najib ketika berucap berkata, projek KLATCC itu bakal menjadi satu lagi mercu tanda penting dalam industri penerbangan awam negara.

Beliau berkata, ini sekali gus membentuk sebuah lagi lonjakan dalam transformasi negara yang sedang giat diperjuangkan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam.

“Saya percaya dengan adanya infrastruktur kawalan trafik udara yang secanggih dan sehebat ini, ia mampu memberi manfaat yang lebih besar kepada industri penerbangan awam negara dalam usaha Malaysia untuk menjadi hab penerbangan global di rantau Asia Pasifik ini.

“Untuk itu, perlulah semua pihak berkepentingan mendukung hasrat yang sama dalam merealisasikan harapan kerajaan. Jelas sekali jika perkhidmatan trafik udara diuruskan dengan teratur dan efisien sudah pasti ia akan membuahkan rasa percaya dan yakin terhadap Industri penerbangan dan pengangkutan udara di Malaysia.

“Ia akan membuktikan bahawa kita tiada kompromi dalam memastikan perkhidmatan yang terbaik, cekap dan, paling penting, selamat,” katanya.

Sumber: Utusan Online | 14 Feb. 2017

No comments:

Post a Comment