Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, kerajaan sentiasa memberi sokongan kepada industri penerbangan dan pengendali lapangan terbang untuk menarik penerbangan antarabangsa.

“Jika terdapat permintaan bagi penerbangan antarabangsa daripada syarikat penerbangan asing untuk datang ke Labuan, kerajaan akan memberi sokongan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Labuan Liberty Port, di sini Khamis.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan (DPMML), Datuk Yussof Mohammad berkata, usaha itu akan membantu meningkatkan industri pelancongan.

Beliau berkata usaha berterusan perlu dilakukan untuk meningkatkan hubungan udara antara Malaysia dan negara jiran.

Yussof berkata adalah penting untuk memberi tumpuan dalam bidang pelancongan bagi meningkatkan imej Labuan sebagai destinasi pilihan pelancong.

“Untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ke Labuan, sama ada dalam negeri atau penerbangan antarabangsa, kita juga harus melihat kepada kemudahan dan tarikan kepada pelancong,” katanya dan menambah ia mesti ditambah baik dan menarik.

Sumber: Bernama | 21 November 2014