Sunday, October 12, 2014

YOU Wings perkenal laluan antarabangsa Medan - Kuala Terengganu mulai 24 November 2014

SYARIKAT penerbangan tempatan YOU Wings Airlines secara kerjasama dengan Sriwijaya Air akan memulakan penerbangan pertamanya bagi laluan Medan Indonesia ke Kuala Terengganu pada 24 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Danial Lee berkata buat permulaan pihaknya akan menyediakan operasi penerbangan sebanyak tiga kali seminggu iaitu pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat.

YOU Wings, syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa yang berpangkalan di Ipoh merupakan pengendali pesawat Sriwijaya Air yang mana syarikat penerbangan Indonesia itu merupakan pemegang saham utama syarikat tersebut. 

"Ini merupakan laluan pertama kami dari Medan ke Kuala Terengganu dan jika mendapat sambutan yang menggalakkan kita akan memperluaskan penerbangan ini," katanya kepada pemberita pada majlis makan malam bersama Menteri Besar Terengganu di Kuala Terengganu, malam tadi.

Danial berkata inisiatif yang dilakukan ini bertujuan memberi lebih peluang kepada pelancong untuk menikmati pelbagai tarikan yang ada di negeri ini dan memperkenalkan produk pelancongan di tempat mereka.

Syarikat penerbangan itu akan menggunakan pesawat Boeing 737 Sriwijaya Air yang mampu memuatkan seramai 168 penumpang dalam satu penerbangan bagi kelas ekonomi dengan tambang berpatutan daripada sekitar RM99 sehingga RM300. 

Beliau berkata pihaknya menyasar kira-kira 5,000 hingga 7,000 pelancong sebulan menggunakan perkhidmatan baharu yang disediakan ini. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafee berkata langkah yang diambil oleh syarikat penerbangan tersebut secara tidak langsung akan dapat menarik lebih ramai pelancong dari negara berkenaan berkunjung ke Terengganu. 

"Saya melihat ia sebagai permulaan baik dengan penerbangan terus dari Medan ke Kuala Terengganu dan kita mengalu-alukan serta menyokong penuh langkah yang diambil ini kerana lebih memudahkan pelancong," katanya pada majlis yang sama. 

Sumber: Bernama | 12 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment