Tuesday, November 25, 2014

Pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dalam perancangan

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempunyai perancangan untuk membesarkan Lapangan Terbang Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu bagi menampung bilangan penumpang yang semakin meningkat.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata projek melibatkan anggaran kos RM172 juta itu antara yang dipohon untuk Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

"Sebagai antara lapangan terbang tersibuk di negara ini, kementerian mengumumkan satu projek dalam RMK11 untuk membesarkan lapangan terbang ini bagi menampung penumpang yang dijangka mencecah 2.5 juta setahun," katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Menurutnya, projek itu meliputi cadangan pembesaran terminal LTSIP yang kini mengendalikan 1.5 juta penumpang setahun.

Kepada soalan asal Ahmad Jazlan, Abdul Aziz berkata kerajaan setakat ini tidak mempunyai rancangan untuk menjadikan LTSIP sebagai lapangan terbang antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau berkata lapangan terbang itu berkemampuan menampung keperluan untuk penerbangan antarabangsa sekiranya terdapat permintaan daripada syarikat penerbangan.

Menurutnya, tiada keperluan untuk memanjangkan landasan LTSIP.

Sumber: Bernama | 25 November 2014

No comments:

Post a Comment