Monday, June 23, 2014

Malindo Air umum laluan baharu Johor Bahru - Pulau Pinang dan Subang - Kuantan

MULAI 23 Julai ini Malindo Air akan memulakan perkhidmatan hariannya dari Johor Bahru ke Pulau Pinang dan perkhidmatan komersil lima kali seminggu dari Subang ke Kuantan.
    
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan hibrid itu berkata, perkhidmatan Johor Bahru - Pulau Pinang - Johor Bahru akan berlepas dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor Bahru dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang setiap hari.
    
Sementara itu, perkhidmatan Subang - Kuantan - Subang akan terbang ke dan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan setiap Isnin, Rabu, Khamis, Jumaat dan Ahad, katanya.
    
Malindo Air baru-baru ini menerima dua lagi pesawat ATR72-600 yang akan digunakan untuk perkhidmatan baharu terbabit.
    
"Kami teruja untuk menambah perkhidmatan baharu itu kerana ia memang menjadi hasrat kami untuk menghubungkan bandar raya utama di Malaysia dengan penerbangan terus yang bukan sahaja berpatutan tetapi mudah.
    
"Di samping itu, adalah amat sesuai untuk melancarkan perkhidmatan baharu terbabit sebelum sambutan raya bermula kerana ia memberi peluang kepada anggota keluarga pulang ke kampung halaman masing-masing," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy.
    
Tambang sehala termasuk semua bermula pada RM79 untuk perkhidmatan Subang - Kuantan dan RM99 untuk laluan Pulau Pinang - Johor Baharu.

Sumber: Bernama | 23 Jun 2014

No comments:

Post a Comment