Wednesday, June 25, 2014

Lapangan Terbang Melaka sasar 4 penerbangan harian

MELAKA: Melaka menyasarkan empat penerbangan harian bagi lapangan terbang antarabangsa negeri di Batu Berendam di sini apabila semua perbincangan dan urus niaga yang sedang dijalankan dengan pihak-pihak berkaitan, termasuk syarikat penerbangan, selesai kira-kira lapan bulan dari sekarang, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.
 
Beliau berkata, Lapangan Terbang Melaka akan memberikan perkhidmatan kepada pesawat komersil seperti Boeing 737-400, dan apabila digunakan sepenuhnya, akan dapat mengendalikan hingga 12 penerbangan sehari dari pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.
 
"Sekarang ini ada penerbangan persendirian di lapangan terbang itu tetapi untuk mendapatkan satu atau dua penerbangan komersil sehari benar-benar sukar, jadi sekarang kita sedang berbincang dan membuat tawaran untuk mendapatkan lebih banyak penerbangan komersial di situ," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Idris berkata, permintaan bagi penerbangan di Melaka sememangnya ada kerana orang, terutamanya pelancong meminta penerbangan ke tempat-tempat seperti Pulau Pinang dan Kota Bharu, tetapi penerbangan ke Medan, Indonesia merupakan laluan yang paling banyak diminta.
 
Beliau berkata, kerajaan negeri telah berbincang dengan beberapa syarikat penerbangan seperti AirAsia, Firefly, Sriwijaya Air dan Malindo Air, dan setakat ini perbincangan itu bergerak lancar ke arah yang betul.
 
"Secara realistiknya, ini merupakan perbincangan bertolak ansur, kita memahami masalah syarikat penerbangan untuk beroperasi di sini seperti cukai lapangan terbang, tetapi kita sedia berbincang hingga ke tahap kita (sanggup) membayar sebahagian daripada cukai itu atau memberi jaminan 100 penumpang bagi setiap penerbangan.
 
"Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah duduk berbincang dengan semua pihak dan mencari jalan untuk memenuhi permintaan penerbangan ini...Kita benar-benar percaya jika dilakukan dengan betul, ini akan meningkatkan pelancongan di negeri ini," kata beliau. 

Sumber: Bernama | 24 Jun 2014

No comments:

Post a Comment