Thursday, June 26, 2014

Kerajaan tidak tolak mentah-mentah cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim - Mustapa

ARAU: Kerajaan tidak menolak mentah-mentah sebarang cadangan, termasuk pembinaan lapangan terbang baharu di Kulim, yang dicadangkan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata lapangan terbang menjadi pemangkin pembangunan dan kemajuan sesuatu kawasan dan sebab itu cadangan Mukhriz diberi perhatian serius.


Beliau berkata lebih banyak kargo kini dihantar atau dieksport menggunakan kapal terbang berbanding kapal laut, dan lapangan terbang juga melengkapkan ekosistem untuk menarik pelaburan asing.

"Kerajaan tidak kata "ya" atau "tidak" kepada idea ini, namun kita perlu mengkajinya secara mendalam dan teliti," kata Mustapa kepada pemberita selepas menemui penuntut Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di kampus induk UniMAP di Pauh Putra di sini Khamis.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin dan pegawai kanan universiti. Mustapa berkata Mukhriz menerangkan kepadanya mengenai visi dan rasional pembinaan lapangan terbang ketiga di Kedah itu pada taklimat ringkas semasa mereka bertemu di Alor Setar pagi ini.

"Antara perkara yang dipertimbang ialah sejauh mana lapangan terbang di Kulim ini memberi tempias kepada pembangunan di Selatan Kedah dan Perak selain kesan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang.

"Apabila lapangan terbang Subang tidak dapat tampung keperluan, kita bina KLIA dan klia2. Sekarang Subang dah pulih (sibuk) kembali selepas agak merosot dengan adanya KLIA. Inilah contohnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata kementerian berkenaan bersama Kementerian Kewangan membuat kajian semula untuk memperkenal insentif dalam bentuk berlainan daripada yang ditawarkan oleh lima Koridor Ekonomi Wilayah kepada pelabur.

Kajian ini penting kerana insentif yang diberi oleh kerajaan kepada pelabur yang mendirikan kilang di pinggir atau luar bandar ditarik balik apabila Koridor Ekonomi Wilayah dibentuk supaya insentif itu tidak bertindih, katanya.

Menurut Mustapa langkah itu diambil bagi mengimbangi pembangunan di bandar dan luar bandar, selain merupakan kaedah untuk memberi insentif lebih lumayan untuk membawa pelaburan baharu ke Koridor-koridor ekonomi tersebut bagi mengurangkan penghijrahan.

Mengenai pelantikan Datuk Lee Chee Leong sebagai timbalannya, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam, Mustapa berkata beliau sangat memerlukan timbalan untuk membantunya menarik lebih banyak pelaburan asing yang akan mewujudkan peluang pekerjaan.

"Saya ucap tahniah kepada Naib Presiden MCA itu...banyak kerja menanti. Walaupun mewakili MCA, dia sebenarnya berkhidmat untuk seluruh rakyat Malaysia," kata Mustapa.


Sumber: Bernama | 26 Jun 2014

No comments:

Post a Comment