Wednesday, November 19, 2014

Projek naik taraf Lapangan Terbang Lahad Datu mula tahun depan

LAHAD DATU: Projek menaik taraf dan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Lahad Datu dijangka akan dilaksanakan tahun depan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi (gambar).

Katanya, projek naik taraf landasan dari 1.3 kilometer kepada 1.8 kilometer itu akan dilaksanakan di kawasan tanah rizab lapangan terbang seluas 153.7 hektar.

"Apabila siap nanti, lapangan terbang ini mampu mengendalikan pesawat yang lebih besar," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di lapangan terbang itu di sini, hari ini.

Aziz menjelaskan projek bernilai RM50 juta di bawah Bajet 2015 itu akan hanya bermula selepas masalah perkampungan setinggan di kawasan projek diselesaikan terlebih dahulu.

"Saya difahamkan kira-kira 5,000 penduduk menetap di kawasan projek berkenaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengendalikan proses pemindahan penduduk berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Lahad Datu, Iman Ali berkata kerja menaik taraf landasan itu tidak akan dimulakan selagi penempatan semula penduduk di enam kampung yang terlibat tidak selesai.

"Sebagai langkah awal, kami akan mengadakan mesyuarat bersama penduduk yang terlibat pada minggu hadapan," katanya.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ahli Parlimen Silam, Datuk Nasrun Mansur dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu, Mohd Yusof Apdal.

Sumber: Bernama | 18 November 2014

No comments:

Post a Comment