Sunday, October 9, 2016

RM2.7 bilion bina pelbagai infrastruktur di Kelantan sejak 2015

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan di Jabatan Perbangunan Persekutuan (JPP) pada Ahad. Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (kanan) dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (kiri).
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM2.705 bilion untuk membangunkan pelbagai infrastuktur di Kelantan sejak 2015, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan (MTP) Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata RM1.1 bilion diperuntukkan bagi membaiki pelbagai infrastruktur seperti hospital, balai polis, jambatan dan keretapi yang rosak dalam banjir besar yang melanda negeri ini pada 2014.

"Ini (jumlah RM1.1 bilion) bukan dalam belanjawan, tapi merupakan projek-projek di luar jangka yang ramai orang tak tahu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengarah JPP Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata baki RM1.605 bilion juta pula digunakan untuk lima projek di negeri ini, merangkumi pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa sebanyak RM430 juta yang akan dinaik taraf kepada lapangan terbang antarabangsa.

"Ia melibatkan pemanjangan landasan kepada 2.5 km berbanding 2.4km sebelum ini, parkir bertingkat untuk kenderaan dan pembesaran surau di lapangan terbang tersebut.

"Projek tersebut akan dimulakan pada suku pertama tahun depan dan dijangka mampu menampung empat juta penumpang berbanding 1.5 juta penumpang ketika ini," kata Mustapa.

Beliau berkata berkata antara lain projek termasuklah projek tebatan banjir sepanjang 10 kilometer di lembangan Sungai Kelantan dengan kos RM550 juta.

Beliau berkata selain itu pembinaan bangunan gunasama bernilai RM530 juta di Bandar Baharu Tunjong di sini, yang akan dimulakan pembinaan pada tahun depan dan dijangka siap pada 2020 di tanah seluas 11 hektar bagi menempatkan penjawat awam.

"Kita juga memperuntukkan sebanyak RM55 juta bagi projek pembesaran jalan raya serta Projek Warisan di Kampung Laut, Tumpat yang menelan belanja sebanyak RM40 juta.

"Projek Warisan ini akan memberi manfaat kepada Kelantan dan bakal menjadi sebuah produk pelancongan baharu di negeri ini, selain bertujuan untuk membangunkan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di kampung tersebut," katanya.

Katanya dengan pelbagai projek yang dilaksanakan di Kelantan jelas menunjukkan kerajaan Persekutuan tidak menganaktirikan negeri ini sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sumber: Bernama | 09 Okt. 2016

No comments:

Post a Comment