Saturday, November 25, 2017

Lapangan terbang baharu akan dibina di daerah Perak Tengah, Perak

IPOH: Kementerian Pengangkutan sudah menerima cadangan Kerajaan Negeri Perak untuk membangunkan sebuah lapangan terbang baharu di daerah Perak Tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata projek itu akan dilaksanakan di Gerbang Perindustrian Cempaka Sari (GPCS) di Mukim Bota dan Lambor Kanan.

Projek itu di tanah kerajaan seluas 4,176.7 hektar, akan dilaksanakan oleh Malaysian Resources Corporation Sdn Bhd (MRCB).

Dr Mah berkata, pihaknya mendapat maklum balas kementerian berhubung cadangan pembinaan lapangan terbang baharu menerusi satu surat bertarikh 24 Oktober lalu.

"Surat itu antara lain menyatakan kementerian sudah mengadakan satu mesyuarat bersama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, Malaysia Airports Holdings Bhd, MRCB, kerajaan negeri serta beberapa agensi di bawahnya, pada 8 Mei lalu.

"Dalam mesyuarat itu, MRCB memaklumkan pembinaan lapangan terbang di GPCS adalah berkonsepkan zon perdagangan bebas, hab pengangkutan, terminal kargo bersepadu, pintu masuk antarabangsa dan zon pembangunan ekonomi, pendidikan dan perumahan," katanya dalam sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Tambah Dr Mah, mesyuarat turut memutuskan supaya MRCB melaksanakan satu kajian kebolehlaksanaan bagi menilai cadangan itu dan melantik KMPG sebuah syarikat juruperunding bagi menyiapkan laporan akhir.

"Setelah laporan akhir ditamatkan ia akan dibentangkan dalam Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Sehubungan itu, Dr Mah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang menafikan dakwaan pembangkang bahawa lapangan terbang baharu itu tidak akan dibina.

"Apa yang dipetik dan dinyatakan ADUN Kepayang, Nga Kor Ming pada sesi bahas (Bajet Perak 2018) adalah satu kenyataan yang diputar belit," katanya.

Katanya, kementerian bersama kerajaan negeri akan mengadakan satu lagi mesyuarat pada Selasa depan bagi membincangkan lebih lanjut berhubung pembinaan lapangan terbang baharu berkenaan.

"Pihak kerajaan negeri memang serius dan mengutamakan pembangunan lapangan terbang. Pihak kementerian bukan mengambil cadangan syarikat swasta (MRCB) sewenang-wenangnya tetapi ia melalui kerajaan negeri," katanya.

Sumber: Bernama | 24 November 2017

No comments:

Post a Comment