Saturday, March 17, 2018

Kelantan akan ada lapangan terbang antarabangsa

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang akan dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas. 
KOTA BHARU: Projek menaik taraf dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa dengan kos sebanyak RM483 juta dijangka dirasmikan pada tahun ini. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata projek pembesaran terminal lapangan terbang itu sangat penting kerana ia akan mengubah lapangan terbang itu kepada lapangan terbang antarabangsa

"Ini adalah satu contoh projek fokus dan terpenting bagi negeri Kelantan

"Projek yang dijangka dirasmikan dalam bulan Jun atau Julai tahun ini, adalah antara projek pembangunan Kerajaan Persekutuan supaya negeri ini dapat membangun seperti negeri yang lain," katanya yang juga Presiden MCA selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Badan Bukan Kerajaan (BBK) Cina, di sini, hari ini. 

Katanya, projek pembesaran lapangan terbang itu termasuk pemanjangan landasan, pembesaran terminal dan kelengkapan sistem radar, bakal menampung empat juta penumpang berbanding kini hanya 1.5 juta

"Kerajaan juga berharap dapat menarik ramai lagi penumpang terutama dari selatan Thailand dengan penambahan kemudahan dan lebih banyak penerbangan

"Kami juga berharap akan ada lebih banyak penerbangan dari China ke Kota Bharu dan juga penambahan dari segi kargo," katanya. 

Tiong Lai berkata, hanya kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dapat menyediakan kemudahan seumpama ini bagi rakyat Kelantan. 

"Dengan adanya projek lapangan terbang ini dan juga projek lebuh raya, rakyat akan dapat melihat negeri Kelantan membangun dalam tempoh lima tahun akan datang. 

"Dengan ini, saya menyeru agar masyarakat Cina di negeri ini memberi sokongan kepada BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang," katanya. 

Beliau berkata banyak perubahan dari segi sokongan rakyat pada BN dapat dilihat ketika lawatannya di negeri ini hari ini dan beliau yakin BN akan menerajui pentadbiran Kelantan selepas PRU-14 nanti.

Sumber: Berita Harian Online | Nasional | 16 Mac 2018

No comments:

Post a Comment