Wednesday, February 6, 2019

KB dan Langkawi destinasi baharu Malindo Air dari Melaka

AYER KEROH: Bermula 1 Mac ini, syarikat penerbangan Malindo Air akan menambah dua laluan baharu iaitu Langkawi, Kedah dan Kota Bharu, Kelantan melalui Lapangan Terbang Melaka (LTAM), Batu Berendam, di sini.

Dengan beroperasinya dua laluan baharu, syarikat penerbangan itu kini mempunyai empat destinasi laluan dari LTAM iaitu Langkawi, Kota Bharu, Pulau Pinang dan Pekanbaru, Indonesia, sekali gus merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab, berkata pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan syarikat Malindo Air cawangan Melaka bersetuju untuk melaksanakan laluan Langkawi dan Kota Bharu yang akan beroperasi tiga kali seminggu iaitu pada Rabu, Jumaat dan Ahad.

“Sebelum ini kita hanya membaca laporan menerusi majalah Malindo Air tanpa sebarang pengesahan, namun hari ini saya ingin memaklumkan bahawa pengurusan MAHB dan Malindo Air Melaka bersetuju memulakan penerbangan di dua destinasi itu mulai 1 Mac ini.

“Bagi kerajaan negeri, ini adalah satu langkah yang baik bagi menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara khususnya yang datang ke Langkawi dan Kota Bharu untuk terus ke Melaka bagi menjayakan TMM 2019,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Sofi berharap lebih banyak syarikat penerbangan akan menggunakan kemudahan di LTAM memandangkan ketika ini hanya empat peratus yang menggunakan lapangan terbang itu sama ada dari Pulau Pinang dan Pekanbaru.

Beliau berkata, pihaknya juga dimaklumkan oleh pengurusan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia yang berhasrat memulakan penerbangan dari LTAM di mana-mana empat pilihan destinasi iaitu Pulau Pinang, Langkawi, Pekanbaru dan Bandar Seri Begawan (Brunei), mulai suku ketiga tahun ini.

“Sekiranya menjadi kenyataan, ini satu berita gembira kepada penduduk Melaka kerana ia secara tidak langsung memberi peluang untuk memperkenalkan LTAM kepada masyarakat luar.

“Isu keperluan memanjangkan landasan di LTAM tidak timbul kerana saya dimaklumkan oleh MAHB bahawa kemudahan yang disediakan di lapangan terbang itu sudah memadai dan ia bukan faktor tiada syarikat penerbangan berminat menggunakan LTAM,” katanya.

Sumber: Berita Harian | 6 Februari 2019

No comments:

Post a Comment