Wednesday, March 6, 2019

Kaedah PFI untuk biaya projek pembesaran LTAPP dengan kos lebih RM1.2 bilion

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
GEORGE TOWN: Kerajaan akan menggunakan kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) untuk meneruskan kerja-kerja menaik taraf dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas, dekat sini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pembiayaan oleh pihak swasta diperlukan kerana projek itu melibatkan kos yang tinggi, tanpa perlu bergantung kepada sumber kewangan dari Kerajaan Persekutuan.

"Saya rasa secara prinsipnya kita akan buat (projek pembesaran LTAPP) secara PFI, pembiayaan secara swasta kerana kerajaan kekurangan dana. Projek ini melibatkan jumlah kewangan yang tinggi. Kita mahu besarkan lapangan terbang ini sehingga mampu menampung 16 juta penumpang pada satu-satu sama.

"Menerusi PFI kita jangka melebihi RM1.2 bilion. Tapi ini akan dibuat secara tender terbuka. Kita harap prosesnya boleh dimulakan tahun ini, dan pihak yang berjaya boleh dilantik akhir tahun ini," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan bunga kepada wanita yang sedang bersarapan di kedai-kedai makan di sini sempena Hari Wanita Sedunia, hari ini.

Lim berkata kaedah sama akan digunakan untuk cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Kulim, Kedah.

"Sekiranya kita buat menerusi PFI ini, saya rasa akan membolehkan kita buat lebih efisien dan pada masa sama dapat menjimatkan sumber kewangan. Kita akan gunakan model ini seberapa yang boleh untuk lapangan terbang antarabangsa yang lain supaya tidak melibatkan dana kewangan yang terlalu tinggi," katanya.

Menurutnya, inisiatif itu juga seiring dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, dan pada masa sama dapat menarik lebih ramai pelancong, sekali gus meningkatkan ekonomi negara.

Sumber: Bernama | 3 Mac 2019

No comments:

Post a Comment