Saturday, February 27, 2021

Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP bermula April 2021 dan dijangka siap pertengahan 2024

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan
KOTA BHARU: Projek pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang sebelum ini sudah beberapa kali tertangguh akan dimulakan pada  April ini. 

LTSIP yang terletak di Pengkalan Chepa, Kota Bharu merupakan salah satu lapangan terbang domestik yang paling sibuk di negara ini. Pada tahun 2019, lapangan terbang ini mengendalikan 1.8 juta penumpang, manakala kapasiti LTSIP pada masa kini cuma mampu menampung 1.5 juta penumpang setahun sahaja. 

Menurut Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), LTSIP perlu dibesarkan dan dinaik taraf bagi menampung jumlah penumpang yang semakin meningkat lebih-lebih lagi pasca-COVID-19 nanti. 

Menurut beliau Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk melantik WCT Holdings Berhad (WCT) sebagai kontraktor utama projek pembesaran dan menaik taraf LTSIP dengan kos sebanyak RM440 juta. Syarikat ini dijangka mula memasuki tapak projek pada April 2021. 

Komponen utama projek ini melibatkan pembinaan bangunan terminal baharu secara reka dan bentuk (design and build) di tapak bangunan terminal lama dengan pengasingan balai ketibaaan dan perlepasan. 

Mengikut perancangan, projek ini dijangka dapat disiapkan pada pertengahan tahun 2024. Apabila siap kelak, bangunan terminal baharu ini mampu menampung sehingga empat (4) juta penumpang setahun

Projek ini juga melibatkan pembinaan kompleks parkir kereta bertingkat, manakala titi udara (aerobridge) akan ditambah lima (5) lagi menjadikan jumlah keseluruhannya lapan (8) titi udara selepas ini. Jalan keluar dan masuk ke lapangan terbang juga akan ditambah baik. Kesemua ini akan meningkatkan tahap keselesaan pengguna lapangan terbang tersibuk di Pantai Timur ini. 

Menurut Dato' Sri Mustapa Mohamed lagi, projek lapangan terbang ini akan menjadi salah satu projek terbesar Kerajaan Persekutuan di negeri Kelantan. Beliau menambah bahawa projek ini akan meningkatkan kesalinghubungan di antara negeri ini dengan negeri-negeri lain di seluruh negara. 

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com 

No comments:

Post a Comment