Wednesday, December 29, 2010

Projek Naik Taraf Lapangan Terbang P.Pinang Mampu Tampung Lima Juta Penumpang

GEORGE TOWN: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) yang sedang dinaik taraf dengan kos RM250 juta dijangka mampu menampung sehingga lima juta penumpang apabila siap pada Jun 2012.

Pengurus Besar Kanan (Operasi) Malaysia Airports Holdings Berhad Datuk Azmi Murad berkata kerja-kerja menaik taraf yang bermula Jun lepas melibatkan tiga fasa utama dan kini telah 14 peratus siap.

Fasa pertama melibatkan infrastruktur utama dan utiliti, fasa kedua melibatkan bangunan utama terminal dan fasa ketiga membabitkan penaiktarafan kemudahan di kawasan kapal terbang, katanya di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat ringkas mengenai perkembangan projek naik taraf tersebut selain membawa wakil media melawat bahagian PIA yang terlibat dengan projek berkenaan.

"Kerja-kerja menaik taraf ini juga bertujuan untuk memaksimakan jumlah penumpang khususnya ketika waktu puncak iaitu dari 1,300 ke 2,000 penumpang per jam, menambah bilangan lot tempat kereta dari 1,200 ke 2,000.

"Tempat tuntutan bagasi juga ditambah daripada tiga kepada enam, menambah laluan di bahagian menurunkan penumpang di balai berlepas daripada dua kepada empat laluan, serta menambah bilangan tandas awam," katanya.

Selain itu katanya, kemudahan pemeriksaan bagasi di laluan daftar masuk juga terlibat dalam projek tersebut bagi melancarkan pendaftaran penumpang.

"Sebelum ini penumpang perlu melalui proses pemeriksaan bagasi dahulu sebelum mendaftar masuk tetapi apabila siap nanti pemeriksaan bagasi akan dilakukan ketika daftar masuk," katanya.

Beliau berkata sebagai langkah keselamatan PIA juga akan menaik taraf tempat menunggu dan laluan bagi penumpang domestik dan antarabangsa selain turut menambah bilangan kaunter untuk pemeriksaan imigresen, kastam dan pemeriksaan keselamatan.

"Yang penting apabila siap kelak PIA akan mempunyai 14 tempat letak pesawat berbanding sekarang hanya ada 11 sahaja," katanya.

SOURCE: MStar Online/BERNAMA | 29 December 2010 | 

No comments:

Post a Comment