Wednesday, December 29, 2010

Pusat mahu majukan P. Pinang hab penting rantau


Najib Tun Razak tertarik dengan model wajah baru Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas semasa menghadiri majlis pecah tanah bangunan terminal baru di Pulau Pinang, semalam. Beliau diberi penerangan oleh Pengarah Urusan Malaysia Airport, Tan Sri Bashir Ahmad sambil diperhatikan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha (dua dari kanan) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (kanan). - bernama


PULAU PINANG 20 Dis. - Kerajaan Persekutuan akan memajukan Pulau Pinang sebagai hab terpenting di rantau ini bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, untuk mencapai tujuan tersebut, sebanyak 10 projek infrastruktur dikenal pasti sedang dan bakal dilaksanakan di negeri ini.
Katanya, projek berkenaan termasuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pelabuhan Pulau Pinang, Jambatan Pulau Pinang, pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang dan mewujudkan Koridor Multimedia.

''Strategi pembangunan yang dilaksanakan di Pulau Pinang termasuk pembesaran lapangan terbang bukan sahaja mampu mewujudkan rangsangan terhadap ekonomi negara malahan akan menyaksikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan.
''Ini antara usaha kita bagi mencapai matlamat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah hab pilihan di rantau ini.

"Usaha ini amat penting dilaksanakan kerana ia mampu memberikan impak tinggi kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah terminal baru Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas sini hari ini.
Projek bernilai RM250 juta itu dijadual siap sepenuhnya pada Jun 2012.
Menurut Perdana Menteri, kerja naik taraf berkenaan merupakan satu langkah ke hadapan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah destinasi pilihan bukan sahaja dari segi pelaburan malahan pelancongan.
Jelas beliau, ia amat penting kerana perhubungan merupakan satu wahana komunikasi utama bagi pembangunan sesebuah negara terutama pada masa ini.

''Sehingga November tahun ini, pergerakan penumpang di 39 lapangan terbang di seluruh negara meningkat 13.7 peratus iaitu sebanyak 52.1 juta penumpang. "Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas sendiri menyaksikan peningkatan sebanyak 26.4 peratus iaitu sebanyak 3.7 juta penumpang dalam tempoh sama.

''Daripada statistik tersebut, apa yang dilihat, kerja-kerja menaik taraf lapangan terbang ini mampu menyokong objektif negara untuk meningkatkan pendapatan pelancongan daripada RM53 bilion tahun lalu kepada RM168 bilion menjelang 2020," katanya.Menurut beliau, peruntukan kerajaan juga sentiasa diagihkan mengikut perspektif nasional iaitu apa yang baik untuk masyarakat secara keseluruhannya.

SOURCE: Utusan Malaysia | 21 December 2010 |

No comments:

Post a Comment