Tuesday, June 18, 2013

Mustapa sokong naik taraf lapangan terbang

KOTA BHARU - Hasrat Kerajaan Kelantan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa turut mendapat sokongan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata beliau bersama 11 lagi Adun mewakili Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan akan memberikan sokongan dan memberikan kerjasama agar dapat merealisasikan hasrat berkenaan.

"Saya bersama 11 lagi Adun BN akan menyokong permohonan kerajaan negeri dan ini adalah langkah Kepada kerjasama antara kerajaan negeri dan Pusat," katanya ketika mencelah semasa sesi soal jawab pada persidangan Dun di sini hari ini.

Sebelum itu Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri Hanifa Ahmad sedang menjawab soalan Wan Ubaidah Omar (Pas-Kijang) yang bertanyakan langkah kerajaan negeri untuk menaik taraf lapangan terbang berkenaan.

Hanifa dalam jawapannya berkata kerajaan negeri telah memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk memanjangkan lagi landasan lapangan terbang itu daripada 2,400 meter kepada 3,400 meter bagi membolehkan ia digunakan untuk penerbangan antarabangsa.

Katanya jika permohonan itu diluluskan dan pemanjangan landasan dapat dilakukan, hasrat rakyat Kelantan untuk menunaikan haji dengan penerbangan terus dari sini dapat direalisasikan dalam tempoh yang singkat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Negeri Datuk Nassuruddin Daud berkata pembinaan masjid sebenarnya bukan menjadi keutamaan kerajaan negeri sebaliknya menyarankan pembinaannya dilakukan sendiri rakyat Kelantan.

Ketika menjawab soalan Zawawi Othman (BN-Semerak), Nassuruddin berkata ini kerana jika rakyat sendiri yang membina masjid, pahala akan diperoleh mereka dan kerajaan negeri hanya akan membantu mereka yang berhasrat membina masjid berkenaan.

Dalam perkembangan lain, sidang Dun dimaklumkan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai maklumat mengenai spesies ikan yang dikatakan telah terancam dan pupus akibat pencemaran alam di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Teknologi Hijau Dan Bioteknologi, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata bagaimanapun kerajaan negeri akan sentiasa memastikan undang-undang berkaitan dikuatkuasakan bagi mengenakan tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap kepupusan itu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Mustapa yang mahu mengetahui spesis ikan yang terancam berikutan pencemaran sungai kerana pembalakan haram di negeri itu. - Bernama

SOURCE: Sinar Harian (Kelantan Edition) | 18 June 2013 | 

No comments:

Post a Comment