Wednesday, June 19, 2013

Pusat belanja RM40 juta naik taraf LTSIP

KOTA BHARU 18 Jun - Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyokong hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk meminta Kerajaan Pusat supaya memanjangkan lagi landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) bagi memastikan landasan itu mencapai taraf lapangan terbang antarabangsa.

Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas) berkata, Kerajaan Pusat sejak beberapa tahun lalu telah membelanjakan lebih RM40 juta untuk menaik taraf lapangan terbang itu agar mampu digunakan oleh pesawat lebih besar.

"Sejak semalam ada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bercakap mengenai soal meningkatkan kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan.

"Kami mahu katakan kami di BN juga menyokong supaya LTSIP dinaik taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa, itu jaminan daripada kami," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Hanifa Ahmad yang menjelaskan usaha kerajaan negeri supaya LTSIP dinaik taraf menjadi sebuah lapangan terbang antarabangsa dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Hanifa ketika mengulas mengenai perkembangan proses menaik taraf LTSIP berkata, sebanyak RM45.5 juta telah dibelanjakan melalui peruntukan Kerajaan Pusat untuk menjadikan lapangan terbang itu lebih maju dapat diperluaskan capaiannya.

"Landasan LTSIP telah siap dipanjangkan pada hujung 2011 dari 1,980 meter kepada 2,400 meter dengan kos RM45.5 juta yang membolehkan pesawat lebih besar seperti Airbus dan Boeing untuk mendarat.

"Dengan usaha ini (naik taraf) membolehkan perkhidmatan terus ke beberapa negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam. Sekarang hanya Firefly yang melakukan penerbangan antarabangsa dari Kota Bharu ke Singapura," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan telah memberi kebenaran bermula tahun ini kepada LTSIP untuk melakukan penerbangan antarabangsa namun keputusan itu bergantung sepenuhnya kepada keputusan komersial syarikat penerbangan yang ada.

"Kebenaran sudah diberikan untuk penerbangan terus antarabangsa (dua hala) dari Medan, Indonesia dan Kelantan jadi kita mahu panjangkan lagi landasan daripada 2,400 meter kepada 3,400 meter untuk membolehkan pesawat Boeing 747 mendarat.

"Kita berharap bermula tahun depan juga kita boleh melakukan penerbangan terus untuk menunaikan umrah dan haji dari LTSIP ke Jeddah, Arab Saudi tanpa perlu transit ke Kuala Terengganu atau Kuala Lumpur," tambahnya.

SOURCE: Utusan Malaysia | Timur | 19 June 2013 | 

No comments:

Post a Comment