Wednesday, February 17, 2016

Penerbangan Bayu Air bermula Ogos ini

Ketua Pegawai Eksekutif Bayu Mutiara Skyways Sdn Bhd, Mohd Saiful Rizal Raffien (tengah) bergambar bersama krew penerbangan Bayu Air pada majlis prapelancaran Bayu Air.
KUALA LUMPUR: Pesawat Bayu Air akan memulakan operasi penerbangan pada Ogos ini dengan perancangan fasa pertama ke Jeddah dan Madinah bagi destinasi umrah dan laluan pelancongan ke China.

Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Saifulrizal Raffien berkata Bayu Air akan menggunakan tiga pesawat Boeing 777-200 dan menyediakan hidangan masakan kampung selain menawarkan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Beliau berkata konsep yang diketengahkan Bayu Air akan dapat memperkasakan lagi produk PKS tempatan selain mempromosikannya ke peringkat dunia.

"Ini akan memberikan pengalaman baharu dan keselesaan kepada para penumpang dan kami amat komited dalam menjadikan perkhidmatan kami yang terbaik.

"Secara tidak langsung ia juga akan dapat membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat tempatan bagi menjana ekonomi negara," katanya di majlis prapelancaran penerbangan Bayu Air di sini Selasa.

Mohd Saifulrizal berkata penglibatan pihaknya dalam industri itu akan membuka peluang pekerjaan seperti anak kapal dan juruterbang kepada orang ramai terutama bekas kakitangan Malaysian Airlines (MAS).

"Kita akan adakan program untuk membawa seramai 40 orang fakir miskin dan tidak berkemampuan pada setiap bulan untuk mengerjakan umrah yang ditaja sepenuhnya Bayu Air dengan kos RM15,000 setiap orang," katanya.

Bayu Air dimiliki syarikat bumiputera Bayu Mutiara Skyways Sdn Bhd, ditubuhkan pada 2014 yang berpusat di Cyberjaya dengan mempunyai sehingga 300 kakitangan.

Sumber: Bernama | 16 Feb 2016

1 comment:

  1. AMBO SOKONG PENUH...MOLEK BEDOOH...LAGI MOLEK KALU PRAMUGARI TUTUP AURAT PENUH BUKE SEPARUH

    ReplyDelete