KUALA LUMPUR: Cadangan awal syarikat penerbangan Rayani Air untuk memperkenalkan laluan Kota Bharu - Bandar Raya Ho Chi Minh (KBR-SGN) dengan kekerapan dua kali seminggu bermula Mei atau awal Jun ini merupakan suatu cadangan yang baik yang boleh merangsang industri pelancongan Kelantan dan Pantai Timur serta Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) secara keseluruhannya.
Namun begitu, penerbangan dua kali seminggu amatlah tidak praktikal berbanding amalan biasa industri yang menawarkan perkhidmatan penerbangan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bagi penerbangan berjadual.
Rayani Air boleh sahaja menawarkan perkhidmatan penerbangan dua kali seminggu katakan pada setiap hari Khamis dan Sabtu tetapi penumpang dari Kelantan terpaksa berada lebih lama di Bandar Raya Ho Chi Minh (HCMC) atau dikenali juga Saigon untuk mengambil penerbangan pulang dengan Rayani Air. Penumpang dari Kelantan yang ke HCMC pada hari Khamis boleh mengambil penerbangan pulang ke Kota Bharu pada hari Sabtu selepas dua malam berada di HCMC.
Bagaimana pula yang mengambil penerbangan pada hari Sabtu dari Kelantan dan perlu mengambil penerbangan pulang ke Kelantan pada hari Khamis selepas lima malam berada di HCMC? Sebenarnya, jadual penerbangan dua kali seminggu langsung tidak praktikal.
Oleh itu, Rayani Air dicadangkan supaya memperkenalkan laluan ini dengan kekerapan tiga kali seminggu, iaitu setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu atau setiap hari Ahad, Rabu, dan Jumaat sahaja.
Sementara itu, Rayani Air juga diharap dapat segera mengatasi masalah kelewatan dan pembatalan penerbangan bagi laluan-laluan domestik sedia ada yang amat kerap berlaku pada ketika ini sejak awal bulan Februari lagi kerana permasalahan ini boleh menjejaskan keyakinan pengguna ke atas syarikat penerbangan ini.
Permasalahan tersebut boleh diatasi dengan pelan kontigensi yang cekap, penambahan pesawat baharu, penyelenggaraan pesawat secara berkala, penjadualan semula bagi semua laluan, dan perkhidmatan pelanggan yang cekap.
Dalam pada itu, Rayani Air hanya perlu memberi fokus kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab utama dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) sebagai hab sekunder dengan menggugurkan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) sebagai hab utama.
Sumber: Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com
No comments:
Post a Comment