Sunday, November 27, 2016

Landasan LTSIP patut dipanjangkan kepada 3,500 m, bukannya kepada 2,500 m

Gambar hiasan: Landasan Lapangan Terbang Antarabangsa U-Tapao, Pattaya, Thailand dengan kepanjangan kira-kira 3,505 m. 
RAKYAT Kelantan sudah terlalu lama untuk melihat kemudahan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan dipanjangkan untuk pengendalian pesawat berbadan lebar terutamanya A330-300, B777-200ER, dan A350-900. 

Kali terakhir landasan LTSIP dipanjangkan pada tahun 2010 - 2011 yang melibatkan pemanjangan landasan daripada 1,981 meter (m) kepada 2,400 m untuk pengendalian pesawat jenis B737-800 yang mula menjadi angkatan pesawat Malaysia Airlines (MAS) pada ketika itu. 

Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9: 2006 - 2010), landasan LTSIP sepatutnya dipanjangkan daripada 1,981 m kepada 3,200 m tetapi Kerajaan Persekutuan akhirnya hanya memanjangkan landasan LTSIP kepada 2,400 m sahaja. 

Beberapa orang yang pernah dan sedang menjadi Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Pengangkutan sering kali menafikan permintaan rakyat Kelantan supaya landasan LTSIP dipanjangkan untuk mengendalikan pesawat berbadan lebar. Kata mereka, dengan kepanjangan landasan sedia ada, LTSIP sudah mampu mengendalikan penerbangan antarabangsa dengan menggunakan pesawat jenis A320-200 (yang biasa digunakan AirAsia) dan B737-800 (MAS). 

Persoalannnya di sini, mengapa landasan lapangan-lapangan terbang di Alor Setar, Labuan, Miri, Bintulu, dan Sibu boleh pula Kerajaan Persekutuan memanjangkannya masing-masing kepada 2,745 m? Landasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu, Terengganu pula telah dipanjangkan daripada 2,012 m kepada 3,480 m di bawah RMK9, manakala Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang dilengkapi dengan sebatang landasan sepanjang 2,804 m. 

Mengapa LTSIP memerlukan landasan sepanjang 3,500 meter? 
  • Di Malaysia, kesemua enam lapangan terbang antarabangsa mempunyai kepanjangan landasan melebihi 3,300 m. Jadi, LTSIP yang amat berpotensi menjadi sebuah lapangan terbang antarabangsa perlulah dipanjangkan landasannya mengikut standard lapangan-lapangan terbang antarabangsa yang lain. 
  • Kemudahan landasan yang cukup panjang akan menambah daya tarikan syarikat penerbangan tempatan dan asing untuk beroperasi di LTSIP terutamanya melibatkan penggunaan pesawat berbadan lebar. 
  • Syarikat penerbangan yang beroperasi tidak perlu lagi memikirkan berat muatan dan jumlah penumpang yang boleh diangkut dalam satu-satu penerbangan jika LTSIP mempunyai landasan yang cukup panjang. 
  • Pesawat berbadan lebar boleh diutuskan ke Kota Bharu bagi perkhidmatan penerbangan haji secara terus ke Tanah Suci dan juga penerbangan tambahan pada musim-musim perayaan terutamanya Aidilfitri dan Aidiladha. 
  • Kota Bharu terletak di tengah-tengah persimpangan laluan udara di antara Singapura ke Bangkok, Pulau Pinang ke Hong Kong, dan Singapura ke Eropah. Jika berlaku apa-apa kecemasan, pesawat komersial yang melintasi ruang udara Kota Bharu boleh mendarat di Kota Bharu tanpa sebarang masalah kerana mempunyai landasan yang cukup panjang.

Peranan Dato' Pa dan Harapan Rakyat

Dato' Sri Mustapa Mohamed (Dato' Pa), Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) diharap dapat memainkan peranan dengan menyakinkan Kerajaan Persekutuan supaya dapat memanjangkan landasan LTSIP kepada 3,500 m. Banyak manfaat yang bakal diperoleh rakyat Kelantan jika landasan LTSIP dapat dipanjangkan mengikut standard lapangan-lapangan terbang antarabangsa yang lain seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabanga Kota Kinabalu, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. 

Oleh yang demikian, Kerajaan Persekutuan melalui Kemeterian Pengangkutan Malaysia dan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) perlulah menimbangkan cadangan ini dan menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk pemanjangan landasan LTSIP daripada 2,400 meter kepada 3,500 m atau sekurang-kurangnya kepada 3,200 m, iaitu mengikut perancangan asal projek pemanjangan landasan LTSIP di bawah RMK9.

Sumber: Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com

No comments:

Post a Comment