Wednesday, November 2, 2016

Pesawat AirAsia tergelincir, ratusan penumpang terkandas di LTSIP

Keadaan pesawat AirAsia yang tergelincir di LTSIP.
KOTA BHARU: Ratusan penumpang terkandas di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini susulan pesawat AirAsia tergelincir ketika dalam persediaan berlepas kira-kira 10 malam tadi.

Pesawat itu yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tergelincir apabila tayar depan serta belakang kiri pesawat terbenam di dalam tanah di bahu landasan.

Difahamkan, tiga penerbangan ke Kota Bharu terpaksa berpatah balik termasuk satu penerbangan mendarat di Pulau Pinang, susulan insiden itu.

Sekurang-kurangnya dua penerbangan dari LTSIP terpaksa ditangguhkan hingga pagi ini.

Seorang penumpang yang mahu dikenali sebagai Fatimah, 30, berkata, dia tidak mengetahui kejadian berlaku sehingga krew penerbangan memaklumkan pesawat mengalami masalah teknikal.

"Ketika itu pramugari meminta kami bertenang saja, sehinggalah terpaksa menunggu lebih sejam dalam pesawat dan penumpang mula bising bertanyakan keadaan sebenar.

"Selepas itu, kami dimaklumkan pesawat tergelincir dan tidak lama kemudian kami dibenarkan keluar secara berperingkat menerusi pintu hadapan.

"Ada bas yang disediakan untuk ke terminal dan kakitangan mengurus soal penukaran jadual penerbangan," katanya yang menaiki pesawat itu bersama anak berusia dua tahun dan adik lelaki usia 21 tahun.

Fatimah yang juga seorang guru sekolah di Gombak memberitahu terpaksa meminta cuti kecemasan berikutan insiden berkenaan memandangkan penerbangannya ditangguhkan ke pagi ini.

Sementara itu, suasana di LTSIP setakat 1.30 pagi masih sibuk dengan beberapa penumpang terjejas menunggu bantuan ahli keluarga untuk pulang ke rumah masing-masing.

Difahamkan, syarikat penerbangan terbabit turut membantu menyediakan kemudahan hotel untuk penumpang memerlukan selain pengangkutan, sementara menunggu penerbangan berikutnya.

Sumber: Harian Metro | 02 November 2016

No comments:

Post a Comment