Monday, November 21, 2016

Melaka mahu buka semula laluan penerbangan domestik dan antarabangsa

MELAKA: Kerajaan negeri mahu membuka semula beberapa laluan penerbangan domestik dan antarabangsa bagi merancakkan sektor pelancongan melalui Lapangan Terbang Melaka (LTAM) pada tahun depan.

Exco Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa Melaka, Datuk Lim Ban Hong berkata antara laluan domestik yang akan dibuka semula adalah ke Kota Bharu, Kelantan yang sebelum ini dikendalikan Malindo Air.

“Laluan baharu pula adalah ke Pulau Langkawi, Kedah yang belum lagi ditentukan syarikat penerbangannya.

“Selain itu, laluan antarabangsa baharu yang masih dalam perbincangan adalah bagi laluan Melaka ke Batam, Indonesia yang dijangka dikendalikan syarikat penerbangan hibrid Indonesia, Xpress Air.

Setakat ini, kajian dan perbincangan yang kita sedang lakukan bagi merealisasikan hasrat ini menunjukkan respons positif dan kita yakin ia akan dapat dilaksanakan dengan jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang akhbar penerbangan semula Xpress Air dari Pekanbaru, Indonesia ke Melaka, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Komersial Xpress Air, Swadono Poernomo dan Pengurus LTAM, Suhaimi Abdul Sani.

Mengulas lanjut, Lim berkata ketika ini LTAM mengendalikan penerbangan domestik dari Melaka ke Pulau Pinang dan penerbangan antarabangsa dari Melaka ke Pekanbaru dan Melaka ke Guangzhou, China yang dikendalikan Malindo Air, Xpress Air dan China Southern Airlines.

Beliau berkata selain destinasi utama itu, pelancong dari LTAM boleh menggunakan Xpress Air yang melakukan transit di tiga destinasi lain iaitu Palembang, Lampung dan Tanjung Pinang, Indonesia bagi laluan ke Pekanbaru.

Katanya, kerajaan Melaka menjangkakan pelancong atau penumpang yang menggunakan laluan udara di LTAM mencecah 100,000 orang tahun depan menerusi pembukaan laluan domestik dan antarabangsa baharu selain laluan sedia ada.

“Setakat Januari hingga hari ini, seramai 51,230 penumpang telah menggunakan LTAM sebagai laluan penerbangan ke destiansi yang ditawarkan.

“Penerbangan semula Xpress Air dari Pekanbaru ke Melaka mampu merancakkan sektor pelancongan perubatan di negeri ini memandangkan pelancong dari Indonesia adalah pelancong ketiga teramai ke Melaka,” katanya.

Beliau berkata laluan dari Pekanbaru ke Melaka yang dihentikan September lalu selepas mula beroperasi di LTAM pada 29 April tahun ini adalah disebabkan Xpress Air terpaksa melakukan beberapa rombakan perjalanan dan penambahbaikan perkhidmatan laluan mereka.

Sepanjang operasinya di LTAM, Xpress Air telah mengendalikan 160 penerbangan dari Pekanbaru-Melaka-Pekanbaru dengan membawa 3,360 penumpang.

Seramai 15 penumpang dari Pekanbaru tiba di LTAM kira-kira pukul 2.10 petang tadi menggunakan pesawat Dornier 328 yang boleh membawa 32 penumpang bagi penerbangan empat hari seminggu itu bermula hari ini, melibatkan perjalanan kira-kira 30 minit.
 
Sumber: Bernama | 20 November 2016

No comments:

Post a Comment