Sunday, April 10, 2016

Rayani Air diberi amaran ketiga

Rayani Air gagal urus operasi dan perkhidmatan kepada penumpang. 

Syarikat penerbangan Rayani Air menggantung operasinya serta-merta.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Penerba­ngan Awam (DCA) akan memberi surat amaran ketiga kepada syarikat penerbangan Rayani Air hari ini berikutan kegagalan syarikat itu dalam menguruskan operasi dan perkhidmatannya kepada penumpang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, syarikat penerbangan itu juga bakal berhadapan dengan penggantungan operasi jika masih lagi mempunyai isu yang membabitkan perkhidmatan mereka selepas ini.

Jelasnya, Suruhanjaya Penerbangan sudah diarahkan untuk meneliti isu ini bersama-sama DCA dan tindakan selanjutnya akan diambil.

“Sebelum ini, dua surat amaran sudah diberi kepada Rayani Air, namun mereka didapati masih mengulanginya. Kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka.

“Hari ini, DCA akan mengeluarkan surat amaran ketiga dan jika mereka masih mengulanginya, operasi syarikat itu akan digantung,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai mutu perkhidmatan Rayani Air yang sekali lagi dipertikaikan orang ramai semalam apabila membatalkan keseluruhan penerbangannya gara-gara masalah yang didakwa melibatkan kegagalan membayar gaji pe­kerja.

Mengulas lanjut Tiong Lai berkata, kementeriannya amat mengambil berat masalah yang dihadapi oleh orang ramai terutama pelanggan-pelanggan Rayani Air yang terpaksa berhadapan dengan pemba­talan atau kelewatan penerbangan.

Katanya, perkara itu adalah isu yang amat serius dan perlu ditangani segera oleh syarikat itu sekiranya ingin terus beroperasi.

Sementara itu pemilik Rayani Air, A. Ravi dalam sepucuk e-mel kepada kakitangan memaklumkan syarikat itu telah menggantung operasinya berkuatkuasa, semalam bagi rancangan perstrukturan semula perkhidmatannya.

“Adalah dimaklumkan kami telah menggantung operasi kami serta-merta sehingga tempoh yang akan diberitahu kelak. Ini sebahagian daripada rancangan perstrukturan semula perkhidmatan kami. Anda boleh mengarahkan kakita­ngan anda untuk menutup operasi dan menghitung semula aset syarikat,” katanya dalam e-mel tersebut.

Ravi turut memaklumkan penggantungan itu sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Semua bayaran balik dan pertanyaan berkaitan dengan penum­pang yang telah ditempah awal, perlu dipanjangkan kepada info@rayaniair.com atau hubungi pusat panggilan di +603-27214925 (beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi sehingga 6 petang),” kata beliau.

Ravi turut mengesahkan Ra­yani Air terpaksa membatalkan beberapa penerbangannya berikutan mogok yang dilancarkan juruterbangnya pada Jumaat.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 9 Apr. 2016 | Terbitan 10 Apr. 2016

No comments:

Post a Comment