Sunday, April 10, 2016

Siapa yang luluskan operasi Rayani Air?

KUALA LUMPUR: Penggantungan operasi syarikat penerbangan, Rayani Air yang disifatkan sebagai tidak mengikut protokol industri penerbangan menimbulkan persoalan mengapa ia boleh berlaku di Malaysia.

"Secara dasarnya mengapa operasi Rayani Air boleh jadi macam ini, macam syarikat 'cowboy'? Siapa yang meluluskan operasi syarikat ini dahulu.

"Kalau operasinya diluluskan oleh Kementerian Pengangkutan, adakah kementerian ini sudah menjalankan kajian menyeluruh dan lengkap kepada syarikat pengendali Rayani Air.

"Adakah Kementerian Pengangkutan melihat keupayaan kewangan, jumlah pesawat, laluan, dan akauntabiliti serta kebenaran penggunaan konotasi agama.

"Kalaulah keupayaan kewangan syarikat ini kukuh mengapa timbul masalah-masalah seumpama ini ," kata Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Jacob George.

Beliau memberi reaksi demikian ketika mengulas rungutan pengguna yang telah membeli tiket penerbangan Rayani Air tetapi tidak dapat menggunakan perkhidmatan tersebut kerana operasinya digantung.

Rayani Air dalam notis dalaman memaklumkan penggantungan syarikat itu bagi menstruktur semula operasinya.

Sehubungan itu, siasatan menyeluruh dicadangkan dilakukan untuk memastikan 'lampu hijau' yang diberikan kepada Rayani Air itu dahulu dibuat tanpa berlaku amalan salah guna kuasa atau penyelewengan.

Langkah itu penting kerana syarikat penerbangan ini sudah cukup menyusahkan penumpang dan sekarang penumpang pula tertanya-tanya 'nasib' wang yang digunakan untuk membeli tiket.

George menyifatkan penutupan Rayani Air itu sebagai kejadian yang memalukan Malaysia setelah seluruh dunia memperkatakan industri penerbangan negara selepas insiden kehilangan pesawat MH370, nahas MH17 di Ukraine dan kemalangan AirAsia di Indonesia.

Sumber: MalaysiaGazette | www.malaysiagazette.com | 10 Apr. 2016

No comments:

Post a Comment