Monday, April 11, 2016

AirAsia tawar diskaun tambang untuk penumpang Rayani Air

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan AirAsia kini menawarkan tambang pada potongan harga 50 peratus untuk penumpang Rayani Air yang terjejas berikutan penggantungan operasi syarikat berkenaan.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, syarikat tambang rendah itu berkata tawaran berkenaan melibatkan penerbangan bagi destinasi ke dan dari Kuala Lumpur, Langkawi, Kota Bharu, Kuching serta Kota Kinabalu untuk tempoh perjalanan mulai hari ini hingga 27 April 2016.

Ia bagaimanapun khusus untuk semua penumpang Rayani Air yang memiliki tempahan penerbangan yang sudah disahkan.

Penumpang terbabit boleh mengemukakan tempahan itu di Pusat Perjalanan dan Perkhidmatan AirAsia di Terminal KLIA 2 (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (Kota Bharu), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

"Kami amat bersimpati dengan kesemua penumpang Rayani Air yang terjejas ini. Kami berharap pemberian diskaun ini dapat membantu mereka membuat urusan perjalanan baharu, terutamanya menerusi kekerapan penerbangan kami di semua destinasi terlibat," kata Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee.

AirAsia mengendalikan sejumlah 11 penerbangan sehari masing-masing dari Kuala Lumpur ke Langkawi serta Kuala Lumpur ke Kuching; lapan penerbangan sehari masing-masing dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu serta tiga penerbangan sehari dari Kota Kinabalu ke Kuching.

Sumber: mStar Online | 11 Apr. 2016

No comments:

Post a Comment