Sunday, April 10, 2016

Rayani Air: DCA akan hantar notis penggantungan sementara pada Isnin

PUTRAJAYA: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan menghantar notis penggantungan operasi sementara kepada Rayani Air pada Isnin selepas syarikat penerbangan itu mengumumkan penggantungan operasi mereka semalam, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata penggantungan operasi syarikat itu juga akan berkuatkuasa pada tarikh yang sama dan menegaskan mana-mana syarikat penerbangan tidak sepatutnya mengantung operasi penerbangan mereka sendiri tanpa kebenaran DCA.

Semalam, Rayani Air, syarikat penerbangan patuh Syariah pertama Malaysia, telah menggantung operasinya sehingga diberi tahu kelak ekoran mogok juruterbang.

"Rayani Air akan digantung di bawah Peraturan 87 (1) Peraturan Penerbangan Awam 1996 dan proses audit akan di lakukan oleh DCA untuk memastikan syarikat itu layak untuk terus beroperasi," katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Jabatan Pengangkutan Jalan ke-70 tahun, di sini, hari ini.

Liow berkata, sekiranya Rayani Air gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh DCA, syarikat tersebut bakal berdepan kemungkinan lesen pengoperasian penerbangan mereka ditarik balik oleh jabatan tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah DCA Datuk Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata audit akan dilakukan ke atas syarikat terbabit dan jabatan itu akan turut memberi ruang kepada Rayani Air bagi memberi penjelasan dan penerangan mengenai pengoperasian syarikat terbabit.

"Saya masih tidak dimaklumkan dengan lebih lanjut mengenai penggantungan operasi syarikat itu, dan untuk berlaku adil DCA akan berhubung dengan pihak Rayani Air mengenai masalah yang dihadapi mereka," katanya.

Beliau menambah, sekiranya mana-mana syarikat penerbangan mahu menggantung sesebuah laluan penerbangan, syarikat berkenaan perlu membuat permohonan selama enam bulan lebih awal kepada DCA.

Sementara itu, menyentuh mengenai kenaikan yuran 10 kali ganda yang dikenakan DCA ke atas syarikat penerbangan mulai 15 April 2016, Liow berkata kenaikan itu adalah setimpal memandangkan sejak lebih 40 tahun lepas, caj tersebut tidak pernah dinaikkan.

"Bagi kementerian, kenaikan tersebut adalah munasabah memandangkan DCA telah meningkatkan keupayaan dari segi teknologi untuk kawalan lalu lintas pesawat serta peningkatan kawalan pemeriksaan keselamatan ke atas kapal terbang dan lapangan terbang," katanya.

Beliau berkata caj yang dikenakan DCA juga masih antara yang terendah jika dibandingkan harga di sekitar lapangan terbang di rantau ini.

Mengenai perkembangan pencarian MH370, Liow berkata, satu serpihan yang ditemui dipercayai daripada pesawat MH370 ditemui di Pulau Rodrigues, Mauritius baru-baru ini akan dihantar pulang ke Malaysia hari ini.

"Sekiranya ada keperluan, serpihan terbabit akan dihantar ke Australia untuk dianalisis dengan lebih terperinci," katanya.

Pada 3 April lalu, pakar Kumpulan Bebas (IG) MH370 Don Thompson berkata satu serpihan dipercayai daripada dalam kabin pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 telah ditemui di sebuah pulau di Mauritius, timur Afrika.

Pada 8 Mac 2014, pesawat Boeing 777-200ER milik MAS membawa 239 penumpang dan anak kapal yang dalam perjalanan ke Beijing dilaporkan hilang daripada radar selepas kira-kira 49 minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Sumber: Bernama | 10 Apr. 2016

No comments:

Post a Comment