Sunday, April 24, 2016

Lapangan Terbang Miri dinaik taraf dengan kos RM285 juta

Pesawat-pesawat MASWing yang mengendalikan operasi penerbangan RAS berpusat di Lapangan Terbang Miri di Sarawak.
KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Miri di Sarawak akan dinaik taraf me­libatkan kos berjumlah RM285 juta bagi memenuhi trend penum­pang trafik yang semakin meningkat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, cadangan tersebut telah disenaraikan sebagai antara projek yang diberi keutamaan akan dilaksanakan di bawah pelan kedua Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) pada 2017.

Katanya, kementerian perlu me­ngemukakan cadangan ber­kenaan kerana lapangan tersebut digunakan untuk hab Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

Tambah beliau, keputusan itu dibuat berikutan siapnya pe­nyambungan laluan kapal terbang melibatkan kos RM68 juta.

Malah, ujar Tiong Lai, lapangan tersebut merupakan yang kedua pa­ling sibuk di Sarawak yang merekodkan 2.3 juta penum­pang pada 2015 hingga me­lebihi kapasiti muatan penumpang sebanyak dua juta setahun.

“Demi kepentingan rakyat dan pelancong, kerajaan membuat ke­putusan untuk menaik taraf La­pangan Terbang Miri bagi meme­nuhi jumlah penumpang trafik yang semakin meningkat,” katanya di Miri hari ini.

Beliau memberitahu, usaha tersebut adalah tambahan kepada RM700 juta yang diperuntukkan untuk kerja-kerja mendalamkan Sungai Sarawak bagi meningkatkan kapasiti Pelabuhan Kuching, membina Lapangan Terbang Mukah yang baharu bagi menggantikan kawasan berlepas dan mendarat yang pendek dan menaik taraf kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

“Infrastruktur pengangkutan mem­punyai kapasiti untuk menggerakkan perniagaan dan orang ramai, meningkatkan ekonomi dan juga pembangunan sosial. Dalam aspek ini, kami amat mengambil kira keperluan pembangunan infrastruktur yang bergerak seiring dengan pertumbuhan.

“Pelaburan kerajaan berorientasikan rakyat di Sarawak bertujuan untuk menghasilkan pertumbuhan yang mapan dan inklusif. Dalam usaha untuk menjadikan Malaysia mencapai status negara maju, maka adalah penting supaya infrastruktur pengangkutan kita bertaraf dunia,” katanya.

Dalam pada itu, dalam ucapan pelancarannya, beliau berkata, kerajaan bersetuju menaikkan subsidi untuk RAS daripada RM160 juta kepada RM190 juta setiap tahun bermula 2018.

Beliau berkata, Maswings Sdn. Bhd. sekarang mengendalikan lebih 500 penerbangan secara mingguan ke 49 destinasi RAS,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Ekonomi | 22 Apr. 2016 | Terbitan 23 Apr. 2016

No comments:

Post a Comment