Saturday, April 9, 2016

Rayani Air gantung operasi serta-merta

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia, Rayani Air menggantung operasinya berkuat kuasa serta-merta.

Pemilik syarikat penerbangan itu, Ravi Alagendrran memberitahu mStar Online pada pagi Sabtu, penggantungan itu sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

"Ingin dimaklumkan bahawa kita telah menggantung operasi berkuat kuasa serta-merta pada 8 April 2016 sehingga dimaklumkan kemudian.

"Ia adalah sebahagian daripada pelan penstrukturan semula syarikat. Kita akan beroperasi semula selepas melakukan penstrukturan semula," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas kepada portal berita ini.

Menurut Ravi, pihaknya telah memaklumkan perkara sama kepada pegawai syarikat berkenaan menerusi emel.

Berdasarkan emel itu, Ravi meminta pegawainya supaya mengarahkan bahagian masing-masing menghentikan operasi dan 'mengira semula aset syarikat'.

"Semua bayaran balik dan pertanyaan berkaitan dengan penumpang yang telah ditempah awal, perlu dipanjangkan kepada info@rayaniair.com atau hubungi pusat panggilan di +603-27214925 (beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi sehingga 6 petang)," ujar Ravi.

mStar Online cuba mendapatkan pengesahan daripada Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkaitan penggantungan itu, tetapi masih tidak dapat dihubungi setakat ini.

Dalam pada itu, Ravi turut mengesahkan bahawa Rayani Air terpaksa membatalkan penerbangannya berikutan mogok yang dilancarkan juruterbangnya.

Dilaporkan, tindakan mogok juruterbang telah menyebabkan beberapa penerbangan Rayani Air dibatalkan.

Keadaan bertambah rumit apabila penumpang tidak berpuas hati kerana hanya diberitahu mengenai pembatalan itu beberapa jam sebelum penerbangan dijadualkan berlepas.

Sekurang-kurangnya tiga penerbangan dari Kuala Lumpur yang dijadualkan terbang ke Langkawi (RN182), Kota Kinabalu (RN130) dan Kuching (RN154) pada Jumaat telah dibatalkan, berdasarkan posting di media sosial yang dibuat penumpang yang tidak berpuas hati.

SumbermStar Online | 9 Apr. 2016

No comments:

Post a Comment