Sunday, April 10, 2016

Juruterbang Rayani Air mogok kerana tidak dapat gaji

KUALA LUMPUR: Juruterbang-juruterbang Rayani Air dipercayai melancarkan mogok kerana tidak mendapat gaji sejak tiga bulan lalu.

Masalah itu dilaporkan berlaku kerana syarikat penerbangan swasta itu dilaporkan mengalami masalah kewangan.

"Rayani Air tidak mempunyai tunai yang mencukupi untuk beroperasi sehingga menjejaskan gaji juruterbang syarikat itu," kata sumber dalaman kepada MalaysiaGazette.

Pembatalan penerbangan itu didakwa disampaikan melalui mesej kepada para penumpang,

Semalam dalam satu notis dalaman, pengasas Rayani Air, Ravi Alagendrra memaklumkan operasi syarikat itu digantung sementara berkuat kuasa semalam bagi pelan penstrukturan semula syarikat.

Notis ringkas itu juga memaklumkan semua bayaran balik tempahan penumpang dan sebarang pertanyaan diminta dikemukakan kepada info@rayani.com atau pusat panggilan ditalian 603-27214925.

Rayani Air mendapat perhatian apabila para penumpang melahirkan rasa tidak puas hati kerana kerap kali menangguh atau membatalkan penerbangan.

Pada kejadian awal Februari lalu, sebuah pesawat Rayani Air terkandas di Langkawi selepas cermin kokpit retak mengakibatkan 200 penumpang terkandas.

Ekoran insiden itu, Rayani Air melakukan siasatan bagi memastikan sama ada pesawat berkenaan disabotaj atau sebaliknya kerana pesawat Boeing 737 itu disahkan tidak mengalami masalah teknikal sebelum itu.

Difahamkan juga keputusan untuk menggantung operasi dibuat oleh pengurusan Rayani Air sendiri dan ia tidak ada kaitan dengan kesalahan-kesalahan di bawah Jabatan Penerbangan Awam

Sumber: MalaysiaGazette | www.malaysiagazette.com | 9 Apr. 2016

No comments:

Post a Comment