Wednesday, January 25, 2017

Pemanjangan landasan Lapangan Terbang Melaka tidak libatkan pengambilan tanah perumahan berhampiran

MELAKA: Kerja memanjangkan landasan Lapangan Terbang Melaka (LTM) di Batu Berendam di sini yang dijangka dilaksanakan tahun depan, tidak melibatkan pengambilan tanah di kawasan perumahan atau perindustrian berhampiran.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata projek sepanjang kira-kira 500 meter (m) itu akan melibatkan tanah milik Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), selepas mengambil kira laporan teknikal daripada Jabatan Penerbangan Awam dan sebuah syarikat perunding.

"Kerajaan negeri telah memilih pilihan kedua iaitu melaksanakan kerja pemanjangan landasan LTM tanpa mengambil tanah di kawasan perumahan seperti Taman Seri Bayan dan Taman Angkasa Nuri atau kawasan perindustrian berhampiran.

"Berdasarkan laporan itu, pemanjangan berkenaan iaitu 350m melibatkan tanah milik MAHB menghala ke Bandar Raya Melaka, manakala 150m lagi melibatkan tanah menghala ke Durian Tunggal," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerja pemanjangan berkenaan yang melibatkan kos RM70 juta itu bertujuan membolehkan pesawat A320 dan Boeing 747-400 mendarat dan berlepas di LTM pada masa hadapan.

Pada masa sama, katanya kerja menaik taraf LTM termasuk pembesaran bangunan dan pembaikan jalan di laluan masuk premis tersebut juga dijangka dilaksanakan tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata LTM bakal menerima penerbangan dua hala antara Melaka-Bandung menerusi syarikat penerbangan Indonesia Xpress Air dalam masa terdekat.

Beliau berkata buat permulaan penerbangan berkenaan dijangka beroperasi tiga kali seminggu dan ia akan bergantung pada permintaan pelancong di kedua-dua destinasi pelancongan itu.

"Secara dasarnya, usaha ini akan dapat direalisasikan dalam masa terdekat dan kini ia dalam kajian Xpress Air. Penerbangan ini dilihat dapat merancakkan sektor pelancongan Melaka pada masa akan datang," katanya.

Sumber: Bernama | 25 Jan. 2017

No comments:

Post a Comment