Sunday, March 19, 2017

Projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah bermula Jun ini

Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak. Foto ihsan: Kementerian Pengangkutan Malaysia
SEPANG: Kerajaan Negeri Perak menyambut baik keputusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh bermula Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, menaik taraf tersebut melibatkan kerja-kerja memperluaskan kaunter daftar masuk dan penambahan ruang menunggu.

"Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah menyaksikan pertambahan 32 peratus penumpang pada tahun lalu setelah menerima empat penerbangan antarabangsa dan dua domestik pada setiap hari.

"Kita berharap menerusi usaha sebegini dapat menaikkan imej pelancongan di Perak, sekali gus dapat menambah kehadiran pelancong," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Joyful Malaysia Bersama Tourism Perak di Terminal KLIA 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali. Menurut Nolee Ashilin, usaha tersebut dijangka dapat mencapai sasaran 8.5 juta pelancong antarabangsa dan domestik ke negeri itu sempena Tahun Melawat Perak 2017.

"Dengan kerjasama daripada MAHB dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), kerajaan negeri Perak boleh menyediakan kemudahan terbaik kepada pelancong dan memperkenalkan makanan tradisional negeri seperti rendang tok," katanya. 

Sumber: Utusan Online | 18 Mac 2017

No comments:

Post a Comment