Friday, October 13, 2017

Pesawat A350-900 Malaysia Airlines beroperasi Januari 2018

Antara pesawat A350-900 yang masih di peringkat pemasangan di kilang pemasangan pesawat Airbus di Toulouse, Perancis.
TOULOUSE: Malaysia Airlines Berhad (MAB) menjangkakan pesawat baharu, A350-900 memulakan penerbangan sulung ke London pada 15 Januari tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Peter Bellew berkata, MAB akan mula menerima pesawat pertama pada minggu pertama Disember 2017 diikuti de­ngan penerimaan lima lagi pesawat pada Januari, Februari dan Jun.

Katanya, apabila kesemua pesawat tersebut beroperasi sepenuhnya sekitar Jun atau Julai tahun hadapan, ia mampu me­ngurangkan kos operasi kumpulan sehingga 40 peratus berban­ding pesawat sedia ada iaitu, A380.

“Empat daripada enam pesawat ini akan digunakan untuk penerbangan jarak jauh ke London, manakala dua lagi pesawat masih di peringkat perbincangan.

“Bagaimanapun, dengan penyertaan pesawat baharu ini MAB tidak akan mempertimbangkan semula laluan ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh terdekat,” katanya selepas meninjau pesawat pertama A350-900 Malaysia Airlines di sini hari ini.

Pesawat A350-900 akan dikendalikan secara pajakan daripada Air Lease Corporation selama 12 tahun. Ia akan menggantikan pesawat A380 yang digunakan untuk penerbangan haji dan umrah.

Dengan kelebihan dua enjin generasi baharu Rolls-Royce Trent XWB, ia mampu memberi penjimatan minyak sehingga 25 peratus berbanding pesawat yang lain.

Selain itu, pesawat ini juga dilengkapi dengan kemudahan WiFi, menawarkan 325 tempat duduk dan mempunyai rekaan aerodinamik yang canggih terutama bentuk di bahagian sayap sekali gus mampu mengurangkan kelewatan masa dan penggunaan bahan bakar yang rendah.

Antara syarikat penerbangan yang menggunakan pesawat tersebut termasuk Qatar Airways, Singapore Airlines, Cathay Pacific dan Lufthansa.

Setakat ini, Malaysia Airlines beroperasi dengan enam pesawat A380, manakala model A330-300 (15 pesawat) dan B737-800 (48 pesawat).

Malaysia Airlines akan mengimbangi semula jumlah kumpulan pesawatnya dengan memperkenalkan lebih banyak pesawat badan besar dalam tempoh lima tahun akan datang, yang berpotensi membawa hasil tinggi dan mengurangkan kos operasi.

Di bawah pelan Strategi Kumpulan Kapal Terbang 2017 - 2022 (Fleet Strategy 2017 - 2022), syarikat penerbangan itu merancang mengurangkan jumlah kumpulan pesawat badan kecil kepada 45 menjelang 2022 daripada 48 sekarang, manakala pesawat badan besar kepada 35 daripada 21 pesawat.

Menurut Bellew, selain London, pihaknya buat masa ini sedang berbincang dengan beberapa lapangan terbang di Asia termasuk China dan Eropah tetapi ia bergantung kepada kos.

Katanya, MAB optimis dapat membawa sehingga 70 juta penumpang tahun ini dan akan te­rus memperkenalkan empat hingga lima laluan baharu pada tahun hadapan menerusi penggunaan lebih banyak pesawat bersaiz besar.

“Dari segi permintaan, kami melihat ia mendapat permintaan tinggi di Eropah kerana Malaysia memiliki pelbagai keistimewaan dan ini memberi peluang kepada sektor pelancongan mampu berkembang dengan baik,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Bisnes | 12 Oktober 2017 | Terbitan 13 Oktober 2017

No comments:

Post a Comment