Saturday, October 14, 2017

Pesawat bersaiz besar dapat permintaan tinggi di rantau Asia Pasifik

Gambar hiasan: Malaysia Airlines antara syarikat penerbangan antarabangsa yang menggunakan pesawat jenis A330-300 untuk laluan antarabangsnya. 
TOULOUSE: Pesawat bersaiz besar akan terus mendapat permintaan tinggi terutama bagi pasaran Asia Pasifik dengan ketika ini lebih 500 pesawat A330 beroperasi membabitkan tujuh syarikat penerbangan di rantau ini.

Naib Presiden Pemasaran Airbus Asia dan Amerika Utara, Joost van der Heijden berkata, kapal terbang penumpang dijangka meningkat daripada 6,000 kepada 70,000 dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Katanya, ia secara tidak langsung menyediakan banyak peluang apatah lagi aliran trafik di rantau berkenaan mencatat purata pertumbuhan tahunan pada kadar 5.6 peratus.

Pesawat A330 merupakan tulang belakang kepada kumpulan pesawat di rantau Asia Pasifik.

“Malah, pesawat A330 ketika ini sangat popular untuk perjalanan jarak jauh dan syarikat tambang murah terutama dengan pelanggan kami, AirAsia Bhd. dan Lion Air,” katanya dalam taklimat kepada media ketika lawatan ke ibu pejabat Airbus di sini hari ini.

Sehingga akhir 2016, Airbus mempunyai tempahan dalam tangan berjumlah 1.06 trilion euro (RM5.30 trilion) dengan perolehan tahunan berjumlah 66.6 bilion euro (RM332.95 bilion).

Ketika ditanya sama ada pesawat A350 akan memberi kesan kepada A330, beliau berkata, A350 membabitkan saiz kategori yang berbeza bagi memenuhi keperluan penumpang dan laluan yang ditawarkan.

Katanya, Airbus telah menerima 858 tempahan bagi pesawat A350 daripada 40 syarikat penerbangan global setakat September lalu.

“Airbus telah menghantar 114 pesawat A350 sejak Disember 2014 dan dijangka mengeluarkan 10 unit sebulan menjelang akhir 2018 berbanding ketika ini, tujuh buah,” katanya.

Sementara itu, menurut Joost, Airbus merupakan rakan kerjasama utama bagi sektor penerbangan di Malaysia dan turut mampu menawarkan lebih 4,000 peluang pekerjaan.

Airbus merupakan pembekal utama bagi pesawat awam di Malaysia dan dengan tempahan sebanyak 713 pesawat menjadikan Malaysia pasaran ketiga terbesar di Asia Pasifik selepas China dan India.

Hubungan Airbus dan Malaysia bermula pada 1978 apabila Malaysia Airlines memulakan tempahan pertama bagi pesawat A300B4, diikuti AirAsia pada 2005 apabila menempah 60 pesawat A320s. 

Sumber: Utusan Malaysia | Bisnes | 13 Oktober 2017 | Terbitan 14 Oktober 2017

No comments:

Post a Comment