Saturday, December 29, 2018

Firefly disaran tambah laluan domestik dan antarabangsa pada tahun 2019 - 2020

SYARIKAT penerbangan Firefly perlu mengorak langkah dengan memperkenalkan beberapa laluan baharu yang dapat memastikan syarikat penerbangan milik penuh Penerbangan Malaysia (MAB) ini terus berkembang dan mencatatkan pertumbuhan pengendalian penumpang yang memberangsangkan. 

"Kegagalan" Firefly untuk beroperasi di Lapangan Terbang Seletar, Singapura mulai 1 Disember lepas disebabkan kegagalannya mendapat  kelulusan dan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bukan sahaja menjejaskan operasi bagi laluan Kuala Lumpur-Subang - Singapura tetapi juga Ipoh - Singapura dan Kuantan - Singapura. 

Masalah atau isu kelulusan ini dijangka mengambil masa untuk diselesaikan oleh kedua-dua negara, iaitu Malaysia dan Singapura. Hal ini kerana selagi isu sistem pendaratan instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar tidak dapat diselesaikan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) mengikut apa yang disarankan CAAM, selagi itulah harapan untuk Firefly beroperasi di lapangan terbang kedua di Singapura ini tipis. 

Oleh itu, Firefly perlu mengorak langkah dengan memperkenalkan beberapa laluan baharu untuk memastikan penggunaan angkatan pesawat komersialnya secara optimum. Hal ini kerana dengan penutupan laluan Firefly ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura mulai 1 Disember lepas, tiada lagi perkhidmatan penerbangan antarabangsa yang ditawarkan Firefly dari atau ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS), Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh (LTSAS) dan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah Kuantan (LTSAS). 

Antara laluan yang boleh dibuka semula oleh Firefly ialah Subang - Medan, Kota Bharu - Johor Bahru, Pulau Pinang - Kuantan dan Pulau Pinang - Kuala Terengganu. 

Penerbangan Sambungan Melalui Pulau Pinang 

Firefly juga disaran supaya menawarkan perkhidmatan penerbangan sambungan melalui hab utaranya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) melibatkan laluan-laluan seperti berikut: -
  1. Kuala Lumpur-Subang - Pulau Pinang - Phuket (SZB-PEN-HKT)
  2. Kuala Lumpur-Subang - Pulau Pinang - Banda Aceh (SZB-PEN-BTJ)
  3. Kota Bharu - Pulau Pinang - Pulau Langkawi (KBR-PEN-LGK) 
  4. Kota Bharu - Pulau Pinang - Phuket (KBR-PEN-HKT)
  5. Kota Bharu - Pulau Pinang - Banda Aceh (KBR-PEN-BTJ) 
Perkhidmatan penerbangan sambungan melalui Pulau Pinang ini akan memudahkan seseorang penumpang contohnya dari Kota Bharu yang ingin ke Pulau Langkawi boleh transit di PIA berbanding di LTSAAS pada ketika ini. 

Lupakan Lapangan Terbang Melaka 

Setakat ini, hanya syarikat penerbangan Malindo Air yang beroperasi di Bandar Raya Melaka Bersejarah melalui laluan Melaka - Pulau Pinang dan Melaka - Pekanbaru. Syarikat penerbangan lain masih berkira-kira untuk beroperasi di Lapangan Terbang Melaka (LTM) yang bukan sahaja sukar menarik penumpang tetapi juga ia tidaklah begitu jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui Lebuh Raya Utara - Selatan (Lebuh Raya PLUS).

Pelbagai insentif telah ditawarkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi menggalakkan syarikat penerbangan tempatan beroperasi di LTM seperti pengurangan kadar caj perkhidmatan penumpang dan pengecualian caj pendaratan pesawat untuk tempoh beberapa tahun. Namun, LTM masih gagal menyakinkan syarikat penerbangan tempatan terutamanya AirAsia untuk beroperasi.

Jadi, Firefly boleh lupakan dahulu LTM dan memberi tumpuan kepada beberapa lapangan terbang lain untuk pengembangan laluan terutamanya LTSAAS, PIA, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor Bahru (LTAS). 

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com 

No comments:

Post a Comment