Saturday, February 6, 2010

05-02-2010: LTAM perlu tarik syarikat penerbangan

ARKIB : 05/02/2010
LTAM perlu tarik syarikat penerbangan

MELAKA 4 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kerajaan negeri merangka strategi pengisian khusus bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam bernilai RM131 juta dapat dimanfaatkan oleh semua syarikat penerbangan tempatan dan luar negara.

Perdana Menteri berkata, pengisian utama yang perlu diberikan penekanan ialah menarik lebih banyak syarikat penerbangan seperti Penerbangan Malaysia (MAS), FireFly dan AirAsia serta syarikat dari luar negara beroperasi di lapangan terbang ini.

Berucap merasmikan LTAM, di sini hari ini, Najib berkata, lapangan terbang serba moden itu wajar digunakan pada tahap maksimum terutama bagi menarik lebih ramai pelancong, pelancong kesihatan dan pelabur sekali gus memastikan negeri Melaka akan lebih maju dan tersohor di peta dunia.

''Inilah kebaikan dengan adanya LTAM di mana pelabur juga mudah datang ke negara ini melalui Melaka dan pekerja asing boleh menggunakan lapangan terbang ini sebagai pintu masuk," katanya.

LTAM yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar raya ini dinaik taraf seperti pemanjangan landasan dari 1,372 meter kepada 1,800 meter menempatkan bangunan utama terminal, menara kawalan, unit bomba dan penyelamat dan pusat kawalan kaji cuaca.

Pada masa ini, syarikat penerbangan yang menggunakan perkhidmatan LTAM ialah Riau Air Airlines yang menawarkan penerbangan Melaka-Pekan Baru-Melaka.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau mahu kerajaan negeri mencari destinasi baharu untuk penerbangan terus ke negeri ini terutama dari Medan dan Padang.

Sementara itu berucap pada majlis yang sama, Mohd. Ali berkata, pelancongan kesihatan merupakan salah satu daripada 12 sub sektor yang paling menonjol dengan mencatatkan kemasukan 70,815 pesakit dari luar negara pada 2008 dan 51,511 pada 2009.

''Majoriti pesakit adalah dari Indonesia kerana mereka tidak mempunyai kepakaran dari segi perubatan ditambah pula kos rawatan di negeri ini adalah separuh lebih rendah berbanding di Singapura dan Jakarta," katanya.

Tahun lepas, katanya, sumbangan dari sektor pelancong kesihatan dari Indonesia ialah sebanyak RM135 juta.

SOURCE (Sumber): Utusan Malaysia Online (Dalam Negeri): 05-02-2010

No comments:

Post a Comment