Sunday, February 7, 2010

06-02-2010: LTAM jadi pusat ketibaan pekerja asing

LTAM jadi pusat ketibaan pekerja asing

MELAKA 5 Feb. - Kerajaan Pusat sedia mempertimbangkan rancangan untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) yang baru dilancarkan semalam sebagai lokasi ketibaan pekerja asing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (gambar) berkata, jika keputusan tersebut dipersetujui oleh Kabinet, semua ketibaan pekerja asing akan dipindahkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke LTAM di Batu Berendam.

Menurutnya, jaminan itu diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas merasmikan lapangan terbang itu dan melakukan lawatan kerja ke Melaka semalam.

Mohd. Ali berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri akan mengadakan rundingan dengan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) berhubung perkara itu tidak lama lagi.

Katanya, Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad juga bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai cadangan menjadikan LTAM sebagai sebagai tempat ketibaan pekerja asing itu.

"Jika kerajaan dan MAHB membenarkan LTAM dijadikan sebagai balai ketibaan pekerja asing, pergerakan LTAM akan menjadi lebih baik.

"Apa pun keputusan belum dibuat dan ia masih di peringkat perbincangan.

"Jika menjadi kenyataan, bukan sahaja pekerja asing tiba tetapi juga apabila mereka ingin pulang ke negara masing-masing, mereka mesti menggunakan LTAM," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Pusat Beli-Belah AEON Bandaraya Melaka di sini hari ini.

Semalam Perdana Menteri merasmikan LTAM yang bernilai RM131 juta pada satu majlis penuh gemilang disaksikan kira-kira 2,000 penduduk di negeri ini.

Perasmian itu adalah sebahagian acara lawatan kerja sehari Najib yang pertama ke negeri ini selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, April tahun lalu.

Di samping itu Mohd. Ali berkata, kerajaan Pusat juga akan menimbang permintaan kerajaan negeri untuk mengurangkan kadar caj servis penumpang syarikat penerbangan yang menggunakan LTAM dari RM52 kepada RM25 seorang.

"Pada dasarnya, Perdana Menteri memberitahu saya kadar caj RM25 seperti yang diminta oleh kerajaan negeri akan dibawa ke mesyuarat Kabinet terlebih dahulu," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, jika permintaan itu diluluskan oleh kerajaan, semua syarikat penerbangan seperti Penerbangan Malaysia (MAS), AirAsia, Firefly dan beberapa syarikat lain bersedia untuk beroperasi di LTAM.

Ujarnya, pada masa ini, MAHB memberi potongan harga kepada mana-mana syarikat penerbangan yang ingin beroperasi di LTAM dari RM52 kepada RM22 untuk tempoh setahun dan cajnya akan dikembalikan kepada caj asal selepas itu.

SOURCE (Sumber): Utusan Malaysia Online (Dalam Negeri): 06-02-2010

No comments:

Post a Comment