Tuesday, November 30, 2010

20-11-2010: Caj perkhidmatan dikurang RM25

Caj perkhidmatan dikurang RM25
Oleh Faridzwan Abdul Ghafar
faridzwan@bharian.com.my
2010/11/20

Khusus untuk penerbangan antarabangsa

KUALA LUMPUR: Caj perkhidmatan bagi penumpang antarabangsa di beberapa lapangan terbang negara ini akan dikurangkan daripada RM51 kepada RM26, mulai 1 Disember depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata pengurangan caj berkenaan adalah khusus untuk penerbangan antarabangsa secara terus ke destinasi yang terletak di negara anggota ASEAN.

Katanya, lapangan terbang yang terbabit dengan pengurangan caj perkhidmatan penumpang antarabangsa itu ialah lapangan terbang di Alor Setar, Bintulu, Ipoh, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kuantan, Labuan, Lahad Datu, Limbang, Melaka, Miri, Mulu, Pangkor, Redang, Sandakan, Sibu, Tawau dan Tioman.

“Pengurangan caj itu bertujuan meningkatkan penerbangan antarabangsa secara terus ke lapangan terbang bukan utama di rantau ASEAN,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Cho Ha berkata, pengurangan caj perkhidmatan itu dibuat atas dasar semangat ASEAN dan sebahagian daripada proses liberalisasi perkhidmatan pengangkutan udara rantau ASEAN.

“Melalui pelaksanaan langkah ini, ia akan menambah nilai kepada integrasi ASEAN dan menyuntik faktor positif terhadap sektor pengangkutan udara dan pertumbuhan sektor pelancongan negara,” katanya.

Source / Sumber: Berita Harian Online (20-11-2010)

No comments:

Post a Comment