Saturday, December 17, 2011

Khidmat antarabangsa di LTSIP boleh mula Sept - Cho Ha


KOTA BHARU 19 Ogos — Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa di sini boleh mengendalikan perkhidmatan penerbangan antarabangsa setelah projek menaiktaraf bernilai RM45.5 juta siap bulan depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, dengan pemanjangan landasan daripada 1,980 meter kepada 2,400 meter itu dapat membolehkan pendaratan pesawat lebih besar termasuk Airbus A330 dan Boeing 737-800.
Katanya, projek naiktaraf LTSIP, yang bermula pada Jun tahun lepas, berjalan mengikut jadual dan sehingga kini telah siap 99.85 peratus serta dijangka siap sepenuhnya bulan depan.

"Diharap lebih banyak syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa akan menambahkan penerbangan ke Kota Bharu selepas projek naiktaraf ini siap nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai perkembangan projek naiktaraf LTSIP, di sini, hari ini.

Cho Ha berkata, lapangan terbang itu juga mempunyai pelbagai kemudahan termasuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta tempat pakir helikopter baru.
Beliau berkata, LTSIP telah mengendalikan sehingga satu juta penumpang tahun lepas dan dijangka mencapai 1.1 juta penumpang pada tahun ini. — Bernama

SOURCE: Utusan Malaysia/BERNAMA | 19 August 2011 | 

No comments:

Post a Comment