Tuesday, April 22, 2014

AirAsia perkenal laluan antarabangsa Singapura - Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Perkhidmatan penerbangan terus Singapura - Kuala Terengganu diyakini akan menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong asing ke negeri itu terutama warga Singapura sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu Datuk Mohd Jidin Shafee berkata perkhidmatan tiga kali seminggu yang disediakan oleh syarikat tambang murah AirAsia itu mengambil masa kira-kira sejam, sekali gus berupaya menarik minat pelawat untuk ke bandar raya ini yang juga pintu masuk ke pulau-pulau peranginan seperti Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah.

"Untuk permulaan hari ini, 60 peratus penumpang dari Singapura memenuhi tempat duduk dan dalam pertemuan saya dengan mereka rata-rata mengalu-alukan penerbangan terus ini," katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau sebelum itu menyambut ketibaan penerbangan sulung Singapura - Kuala Terengganu AirAsia di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada Selasa. Hadir sama Ketua Komersial AirAsia Berhad Spencer Lee.

Menurut Mohd Jidin, warga Singapura paling ramai mengunjungi Terengganu diikuti China dan Eropah. Mereka lazimnya datang dengan pengangkutan darat atau penerbangan transit dari Kuala Lumpur terus ke pulau-pulau peranginan, katanya.

Beliau juga berkata Terengganu masih berunding dengan syarikat penerbangan dari Indonesia dan China bagi menyediakan perkhidmatan serupa ke Terengganu.

"Malah kita dalam cadangan untuk meminta perkhidmatan AirAsia iaitu selain membuat satu transit ke sini (Kuala Terengganu) dan kemudiannya terus ke Pulau Redang," katanya.

Sementara itu, Lee berkata syarikat penerbangan tersebut komited bekerjasama dengan kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia terutama pada tahun ini yang juga Tahun Melawat Malaysia.

"Sasaran kita hanya untuk memenuhkan seberapa banyak kerusi dalam penerbangan tiga kali seminggu (Singapura-Kuala Terengganu) ini iaitu Selasa, Khamis dan Sabtu," katanya.

Sumber: Bernama | 22 April 2014

No comments:

Post a Comment