Monday, April 21, 2014

AirAsia perkenal laluan antarabangsa Singapura - Kota Bharu

KOTA BHARU - 21 April '14: Syarikat penerbangan AirAsia telah memulakan operasi penerbangan bagi laluan antarabangsa Singapura - Kota Bharu mulai hari ini. 

Penerbangan AK914 dari Singapura ke Kota Bharu dijadualkan berlepas pada jam 09:10 dan dijadualkan tiba di Kota Bharu pada jam 10:30, manakala penerbangan AK915 dari Kota Bharu ke Singapura dijadualkan berlepas pada jam 11:40 dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura pada jam 13:00. 

AirAsia menawarkan penerbangan dengan kekerapan empat kali seminggu bagi laluan ini, iaitu setiap hari Ahad, Isnin, Rabu, dan Jumaat. Penerbangan terus antarabangsa ini mengambil masa kira-kira 1 jam 20 minit sahaja.

Lapangan Terbang Kota Bharu merupakan pusat transit dan pintu masuk utama pelancong untuk ke Pulau Perhentian dan juga selatan Thailand yang menawarkan akses penerbangan yang fleksibel dari segi kekerapan penerbangan dan sambungan ke destinasi-destinasi lain secara terus seperti Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, dan Kuching.

Dengan pengenalan laluan antarabangsa ini diharap dapat merancakkan industri pelancongan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di samping meningkatkan akses negeri Kelantan dengan destinasi antarabangsa lain melalui Singapura.

No comments:

Post a Comment