Wednesday, April 23, 2014

Penerbangan antarabangsa pertama ke Kuala Terengganu bermula

Pesawat yang membawa penumpang dari Singapura terus ke Kuala Terengganu selamat tiba di LTSM jam 10 pagi, semalam.
KUALA TERENGGANU: Pelancong yang mengunjungi negeri ini dijangka bertambah setelah syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia menyediakan perkhidmatan terus dari Singapura ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini.

Penerbangan yang membawa lebih 50 pelancong dari negara Kota Singa itu tiba kira-kira jam 10 pagi, semalam, dan menjadi penerbangan antarabangsa pertama terus ke Terengganu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee, langkah yang diambil syarikat penerbangan murah itu secara tidak langsung turut menggamit lebih ramai pelancong dari negara berkenaan berkunjung ke negeri ini.

“Saya melihat ia sebagai permulaan baik (penerbangan terus dari Singapura ke LTSM) dan kita mengalu-alukan serta menyokong penuh langkah yang diambil ini kerana lebih memudahkan pelancong tanpa perlu menukar pengangkutan.

“Malah, kita juga sedang buat perundingan untuk turut mengadakan penerbangan terus dari dua lagi negara iaitu China dan Indonesia dalam masa terdekat ini,” katanya ketika menyambut ketibaan penerbangan antarabangsa pertama dari Singapura ke Terengganu di LTSM, di sini, semalam.

Menurut Mohd Jidin lagi, selepas melihat jumlah penumpang yang agak membanggakan dari Singapura itu, beliau yakin cadangan untuk penerbangan terus dari dua lagi negara akan turut memberi potensi yang lebih baik untuk sektor pelancongan.

“Bagi merealisasikan usaha untuk menambah penerbangan antarabangsa ke sini (Kuala Terengganu), kita juga sedang dalam proses untuk menambah baik kemudahan yang sedia ada bagi memberi lebih keselesaan kepada pelancong yang datang nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Komersial AirAsia Berhad, Spencer Lee berkata, syarikat komited dalam usaha memajukan lagi sektor pelancongan di negara ini sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, sekali gus memberi lebih peluang kepada pelancong untuk menikmati pelbagai tarikan yang ada di negeri ini.

“Laluan baharu Singapura dan Kuala Terengganu merupakan laluan pertama AirAsia dan kami satu-satunya syarikat penerbangan yang menghubungkan Singapura terus ke Kuala Terengganu,” katanya.

Kata Spencer, pihaknya menyediakan laluan operasi sebanyak tiga kali seminggu iaitu pada Selasa, Khamis dan Sabtu.

Sumber: Sinar Harian | Bisnes | 23 April 2014

No comments:

Post a Comment