Saturday, March 21, 2015

Genap setahun laluan Kota Bharu - Kuching diperkenalkan AirAsia

Promosi tiket buat pertama kalinya bagi laluan Kota Bharu - Kuching oleh AirAsia pada 20 Januari 2014.
PADA 22 Mac 2015, genaplah setahun perkhidmatan penerbangan berjadual bagi laluan penerbangan Kota Bharu (KBR) - Kuching (KCH) diperkenal oleh syarikat penerbangan AirAsia sejak 22 Mac 2014.  

Namun begitu, penerbangan sulung sebenarnya telah dimulakan sehari lebih awal, iaitu pada 21 Mac 2014 dengan perkhidmatan penerbangan tambahan, manakala 22 Mac 2013 merupakan bermulanya perkhidmatan penerbangan berjadual bagi laluan ini. 

AirAsia menjadi satu-satunya syarikat penerbangan tempatan yang beroperasi bagi laluan ini yang menghubungkan negeri Sarawak dengan negeri Kelantan sekali gus menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) sebagai gerbang Pantai Timur Malaysia. 

Sejak diperkenalkan setahun yang lalu, jadual penerbangan bagi laluan ini tidak banyak berubah dan masih kekal dengan kekerapan tiga kali seminggu, iaitu setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu. 

Penerbangan terus ini dijadualkan mengambil masa kira-kira dua jam. Walau bagaimanapun, kebanyakan penerbangan sebenar mengambil masa sekitar  1 jam 30 minit sehingga 1 jam 45 minit sahaja. 

Laluan ini merupakan laluan kedua yang menghubungkan Malaysia Timur dengan Pantai Timur Malaysia selepas laluan Kota Bharu - Kota Kinabalu yang juga diperkenalkan AirAsia sejak 16 November 2013. 

Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket bagi laluan Kota Bharu - Kuching ini, sila layari laman sesawang www.airasia.com

No comments:

Post a Comment